Axis REIT catat pendapatan amanah bersih RM39 juta pada 2QFY24, isytihar agihan dividen 2.25 sen seunit | DagangNews Skip to main content

Axis REIT catat pendapatan amanah bersih RM39 juta pada 2QFY24, isytihar agihan dividen 2.25 sen seunit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Axis Real Estate Investment Trust  (Axis REIT) mencatatkan pendapatan amanah bersih RM39 juta dan pendapatan hartanah RM76 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) didorong oleh jumlah pendapatan amanah RM76.5 juta.

 

Kumpulan itu berkata, pendapatan lebih tinggi disebabkan sumbangan daripada hartanah yang baru diambil alih dan pengembalian sewa positif daripada portfolio sedia ada selain dirangsang penyewaan baharu di Pusat Pengedaran 3 di Axis Shah Alam dan sumbangan pendapatan daripada Pusat Pengedaran Bukit Raja 2.

 

Axis REIT juga telah mencadangkan untuk mengagihkan 99% daripada pendapatan realisasi yang tersedia untuk pengagihan, yang dijana daripada operasi suku dalam tinjauan sebagai pengagihan pendapatan interim kedua untuk 2024.

 

"Ini mencapai pengagihan seunit (DPU) sebanyak 2.25 sen, termasuk bahagian tidak bercukai kira-kira 0.01 sen seunit diperoleh daripada pendapatan keuntungan dikecualikan cukai yang tidak tertakluk kepada cukai.

 

"Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, Axis-REIT mencatatkan jumlah pendapatan amanah RM152.1 juta, meningkat 9.7% daripada RM138.6 juta pada tahun sebelumnya manakala pendapatan amanah bersih pula meningkat sebanyak 24.9%, tahun ke tahun, kepada RM81.2 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata, pihaknya berbesar hati kerana suku kedua 2024 kumpulan itu mencatatkan pendapatan amanah yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

 

Katanya, pengambilalihan dua hartanah perindustrian di Batu Caves dan Petaling Jaya yang telah dilaksanakan pada Mei tahun ini, telah selesai pada 15 Julai 2024. 
 

"Kedua-dua hartanah akan dipajak semula kepada Cycle & Carriage Bintang Berhad selama 10 tahun. 

 

"Ditambah dengan pengambilalihan premis industri, yang terletak di Sendayan Techvalley Industrial Park, Seremban, yang baru siap, pengambilalihan baharu ini menggariskan komitmen berterusan bagi meningkatkan portfolio hartanah dan memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit kami.

 

"Pengambilalihan baharu ini akan memastikan aliran pendapatan yang stabil dan berkembang untuk Axis-REIT," katanya.- DagangNews.com