Bahasa Melayu jadi bahasa ASEAN: Timbang secara telus berlandaskan fakta | DagangNews Skip to main content

Bahasa Melayu jadi bahasa ASEAN: Timbang secara telus berlandaskan fakta

oleh Profesor Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram

BAHASA Melayu akan menjadi bahasa perhubungan antarabangsa serta menguasai semula seluruh perhubungan di rantau ini seandainya pemimpin ASEAN secara kolektif bersetuju untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

 

Pertimbangan yang telus berlandaskan fakta, dan keterbukaan untuk menerima realiti kedudukan sesuatu bahasa dapat memperkukuh kerjasama dalam kalangan anggota ASEAN.

 

Atas prinsip saling hormat-menghormati, Malaysia seharusnya menyambut baik saranan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia agar usul untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN diperhalusi dan dibahaskan terlebih dahulu.

 

Dalam aspek bahasa ASEAN, bahasa yang bakal dipilih sebagai bahasa rasmi ASEAN perlu mengambil kira kepentingan kuasa ekonomi dan politik negara, walaupun diakui bahawa semua bahasa mampu muncul sebagai bahasa yang berwibawa dan bahasa ilmu.

 

Usaha mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi ASEAN telah lama diperkatakan, diperdebatkan dan dicadangkan oleh pelbagai pihak.

 

Terbaharu, Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengusulkan agar bahasa Melayu dijadikan bahasa kedua ASEAN selepas bahasa Inggeris. Justifikasi paling asas, bahasa Melayu dituturkan lebih 300 juta penduduk ASEAN dari Indonesia hingga Kamboja.

 

 

PM

 

Walau bagaimanapun, usul Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN telah mendapat bantahan daripada kerajaan Indonesia. Namun Indonesia tentu sekali tidak dapat menafikan bahawa bahasa Melayu telah mencipta sejarah kegemilangannya yang tersendiri.

 

Pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai di seluruh dunia tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang diberi taraf bahasa rasmi termasuk bahasa Melayu yang juga tersenarai sebagai bahasa ke-10 paling popular penggunaannya di dunia.

 

Di Singapura misalnya, bahasa Melayu merupakan salah satu daripada empat bahasa rasmi, tetapi hanya bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan di republik itu.

 

Sehubungan itu, bahasa Melayu wajar dipilih sebagai citra bahasa ASEAN dan sekali gus dinobatkan sebagai bahasa rasmi ASEAN kerana bahasa Melayu lebih diketahui oleh sebahagian besar anggota pertubuhan serantau berbanding dengan bahasa lain.

 

Hal ini dapat dilihat kepada lima anggota ASEAN, iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Filipina yang berkongsi rumpun bahasa yang sama berbanding dengan bahasa ASEAN yang lain.

 

Malah, di arena antarabangsa, bahasa Melayu dikatakan menjadi bahasa kedua komunikasi selepas bahasa Arab.

 

 

PM

 

 

Institusi pengajian tinggi di negara ASEAN telah menjadi Pusat Pengajian Bahasa Melayu antaranya Prince of Songkla University (PSU) yang merupakan pusat pengajian bahasa Melayu tunggal di negara Thai.

 

Di Filipina, sudah ada Pusat Pengajian Melayu di Mindanao State University, manakala di Singapura, National University Singapore (NUS).

 

Sebagai bahasa yang pernah menjadi lingua franca kepada rakyat di rantau ini beliau berharap agar kegemilangan tersebut harus dikembalikan semula selain hasrat Malaysia untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dapat direalisasikan setelah sekian lama tertangguh. - DagangNews.com

 

Profesor Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram adalah Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)