Bank: Kenanga Research unjur pinjaman catat pertumbuhan sehingga 6% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Bank: Kenanga Research unjur pinjaman catat pertumbuhan sehingga 6% pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pinjaman bagi sektor perbankan diunjur mencatatkan pertumbuhan kukuh antara 5.5% hingga 6% pada tahun ini, kata Kenanga Research.

 

Katanya, walaupun angka inflasi dijangka lebih tinggi dan mungkin menjejaskan produktiviti keseluruhan yang berpunca daripada rasionaliasi subsidi diesel baru-baru ini di mana kos input dan pengangkutan mungkin meningkat.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa tekanan itu berkemungkinan menjadi kenyataan dalam jangka masa sederhana tetapi tertakluk kepada semakan dalam pelaksanaan.

 

"Pada masa yang sama, pemuatan pinjaman isi rumah yang progresif daripada permintaan gadai janji yang mampan mungkin berterusan berikutan unit harga yang lebih mampu milik yang dilancarkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research juga menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada antara 4.5% hingga 5% pada tahun ini disokong peningkatan projek pembinaan dan infrastruktur.

 

Mereka juga menjangkakan perniagaan berorientasikan eksport akan berjaya dengan memanfaatkan kelemahan ringgit, walaupun ia mungkin diimbangi oleh persekitaran operasi yang tegang bagi mereka yang mempunyai pendedahan import yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan.

 

"Kami menjangkakan daya tahan sektor perbankan berikutan usaha yang meluas dalam memperkukuh pendedahan risikonya selepas pandemik dan perspektif yang lebih baik dalam menyasarkan aset berkualiti yang kukuh sambil mengekalkan keuntungan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pilihan utama sektor itu bagi suku ketiga 2024 termasuk CIMB Group Holdings Bhd yang telah mencapai pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 11% selain hasil dividennya berada pada paras 6%, merupakan yang tertinggi di kalangan tiga bank teratas.

 

Mereka juga menyukai RHB Bank kerana dividennya dan firma penyelidikan itu menjangkakan ia akan menjadi peneraju (7% hingga 8%) dalam kalangan rakan setaranya. - DagangNews.com