KUALA LUMPUR 6 Jun - RHB Investment percaya bank mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk meneruskan pertumbuhan pendapatan dan pemberian dividen walaupun terdapat tekanan daripada margin keuntungannya selain pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan.
Firma itu berkata, pertumbuhan pinjaman sistem kekal konsisten, mencecah 4.5% memandangkan perayaan Aidil Fitri menyaksikan sedikit keuntungan dalam pinjaman isi rumah diimbangi oleh penurunan dalam segmen bukan isi rumah.
"Deposit naik 6.4% dari tahun ke tahun tetapi susut 0.4% dari bulan ke bulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Menurut RHB Research, pinjaman sistem April meningkat 4.5% tahun ke tahun dengan kebanyakannya diterajui oleh isi rumah.
Bahagian bukan isi rumah (naik 3.5% dari tahun ke tahun) didorong oleh sektor pengangkutan dan komunikasi (naik 12.5% dari tahun ke tahun) dan kewangan, insurans dan perniagaan (naik 12.5% dari tahun ke tahun), manakala pinjaman untuk pembuatan menguncup 3.8% dari tahun ke tahun.
Berdasarkan tujuan, pemacu terbesar bagi pertumbuhan pinjaman sistem ialah harta kediaman (naik 6.5% tahun ke tahun) dan kenderaan pengangkutan (naik 8.4% tahun tahun), manakala modal kerja perlahan secara berurutan sebanyak 0.9%.
Firma itu berkata, petunjuk pemberian pinjaman kekal memberangsangkan, di mana pada asas purata bergerak tiga bulan (3MMA), permohonan pinjaman sebanyak RM115 bilion meningkat 5% dari bulan ke bulan dan 8% dari tahun ke tahun, walaupun kadar pinjaman purata meningkat tujuh mata asas kepada 5.26% daripada 5.19% pada Mac 2023.
Katanya, kelulusan pinjaman meningkat, pada 5.7% dari bulan ke bulan dan 15.5% dari tahun ke tahun tetapi pengeluaran pinjaman menyaksikan penurunan 2% dari bulan ke bulan dan peningkatan 5.4% dari tahun ke tahun.
Sementara itu, firma itu berkata deposit sistem berkembang 6.4% dari tahun ke tahun mengatasi pertumbuhan pinjaman, tetapi menurun sedikit sebanyak 0.4% dari bulan ke bulan.
“Maklum balas daripada beberapa pasukan pengurusan bank menunjukkan bahawa persaingan deposit telah menyaksikan sedikit kelonggaran selepas suku pertama 2023.
"Dengan mengandaikan kadar kempen deposit puncak telah berlalu, dan ditambah dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) Mei, tekanan margin faedah bersih (NIM) berurutan pada suku akan datang tidak akan seteruk suku pertama tahun ini," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan Malayan Banking Berhad (Maybank), Hong Leong Bank Berhad dan CIMB Group Holdings Berhad menjadi pilihan utama. - DagangNews.com