KUALA LUMPUR 1 Nov - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memberikan kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq berjumlah RM1 bilion kepada Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas) sebagai usaha menyokong inisiatif kerajaan Malaysia bagi mengurangkan kos sara hidup masyarakat bandar.
Lekas dan kerajaan sebelum ini telah melaksanakan penstrukturan semula konsesi yang melibatkan pengurangan kadar tol dan matlamat utama pembiayaan itu adalah bagi menstruktur semula obligasi hutang bagi memastikan lebuh raya kekal mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, sebagai rakan kongsi pembangunan utama, pihaknya melihat pelaburan dalam infrastruktur seperti Lekas adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, sokongan kami untuk Lekas mencerminkan tujuan kami dalam menyampaikan modal impak bagi pembangunan negara.
"Bagi menyokong pertambahan penduduk di Lembah Klang, pembiayaan kami untuk Lekas akan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang berkembang pesat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lekas, Wan Salwani Wan Yusoff berkata, pembiayaan itu menandakan langkah penting ke arah mencapai visi bersama tentang masa depan yang lebih berhubung dan mampan, sambil meneruskan komitmennya untuk meringankan beban kewangan komuniti.
"Pengurangan kadar tol, kami dapat membantu meringankan beban kewangan masyarakat dan pada masa sama menyokong inisiatif kerajaan," katanya.
Lekas memainkan peranan penting dalam menambah baik perjalanan harian untuk kira-kira 100,000 pengguna kenderaan.
Hari ini, lebuh raya itu terbukti menjadi penghubung penting yang menghubungkan Kawasan Timur Kuala Lumpur (Ampang, Cheras, Kajang) dan Seremban, Negeri Sembilan dan mengurangkan kesesakan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan PLUS dan memendekkan masa perjalanan untuk penumpang. - DagangNews.com