Barakah Offshore mengesahkan terima tawaran bagi kapal Kota Laksamana 101 | DagangNews Skip to main content

Barakah Offshore mengesahkan terima tawaran bagi kapal Kota Laksamana 101

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17), Barakah Offshore Petroleum Bhd mengesahkan telah menerima tawaran daripada bagi kapal pemasangan paipnya, Kota Laksamana 101. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, mereka menerima tawaran awal daripada firma Indonesia menerusi tender persendirian.

 

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu bagaimanapun tidak menyebut harga tawaran untuk kapal berusia 12 tahun itu.

 

"Kami ingin menjelaskan, perbincangan antara kedua-dua pihak masih di peringkat awal dan masih belum dimuktamadkan pada tarikh pengumuman ini," katanya.

 

Terdahulu, The Edge melaporkan, Barakah sedang mengadakan perbincangan untuk potensi penjualan di bawah AS$10 juta (RM43.5 juta).

 

Jumlah itu adalah lebih rendah daripada harga yang tawaran sebanyak AS$11.4 juta setakat Mac 2024.

 

Harga jualan yang lebih rendah mengambil kira bahawa kapal itu menjadi sasaran pembeli berpotensi "lebih sebagai kapal penginapan yang diubah suai", kata laporan itu, memetik sumber.

 

Kumpulan itu dilihat begitu terdesak untuk memastikan penjualan itu diteruskan, kata sumber itu lagi.

 

Barakah jatuh ke status PN17 pada Mac 2019 selepas gagal melunaskan pembayaran untuk kapal itu kepada Exim Bank.

 

Kota Laksamana 101 kini terbiar dan tidak digunakan, menurut laporan itu.

 

Ketika ini, bahagian hook-up, pentauliahan dan penyelenggaraan menjadi penjana pendapatan bagi kumpulan itu yang mencatatkan keuntungan untuk tahun keempat berturut-turut tetapi aliran tunai operasi yang negative bagi tahun kewangan terbaharunya. - DagangNews.com