Bayaran akhir STR berjumlah RM2.1 bilion dibayar secara berperingkat mulai 7 November ini - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Bayaran akhir STR berjumlah RM2.1 bilion dibayar secara berperingkat mulai 7 November ini - PM Anwar

Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 4 akan disalurkan mulai 7 November ini - Gambar/The Star
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun ini akan disalurkan sebelum perayaan Deepavali secara berperingkat mulai 7 November ini dengan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion kepada 5.5 juta penerima.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah itu seramai 5.22 juta penerima STR sedia ada bakal menerima bantuan tunai sehingga RM1,200. 

 

Katanya, turut menerima bantuan tunai di bawah STR Fasa 4 adalah lebih daripada 280,000 penerima baharu yang diluluskan untuk Rayuan STR 2023 dan mereka akan menerima sehingga RM2,500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

 

Pembayaran itu merupakan yang terakhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.

 

“Pada tahun ini, kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk STR 2023 kepada 8.7 juta penerima yang memanfaatkan hampir 60% penduduk dewasa Malaysia bagi membantu mereka menangani cabaran kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai penambahbaikan pada STR 2024, kerajaan akan mengambil pendekatan berbeza bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dan bermula 1 November 2023 individu yang layak boleh membuat permohonan baharu dan mengemas kini maklumat mereka untuk bantuan itu sepanjang tahun. 

 

Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan. 

 

Data tersebut akan disemak silang dengan data daripada beberapa agensi kerajaan bagi memastikan kelayakan untuk STR 2024 mengikut syarat yang ditetapkan.

 

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan  https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. 


Semakan status pembayaran dan kelulusan Rayuan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama - DagangNews.com