KUALA LUMPUR 27 Feb - Titijaya Land Bhd melantik bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah sebagai pengerusi lembaga pengarah yang baharu, pada 23 Februari 2024.
Titijaya memaklumkan, Mahadi akan menggantikan Tengku Datuk Seri Uzir Ubaidillah, yang bersara sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif pada penghujung penggal pada 28 November 2023.
Katanya, Mahadi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (Kepujian) dari Universiti Teknologi Malaysia pada 1983 dan kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Pembangunan Bandar dari University of Strathclyde, Glasgow pada 1990.
"Dengan pengalaman selama 40 tahun dalam industri ini, Mahadi mempunyai pemahaman mendalam tentang cabaran dan peluang yang dihadapi syarikat kami dan pasaran yang lebih luas.
"Visi strategik dan kepintaran kepimpinannya akan memainkan peranan penting dalam membimbing Titijaya melalui fasa pertumbuhan dan inovasi seterusnya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Mahadi kini merupakan Naib Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan dan juga ahli lembaga pengarah MRT Lingkaran Sdn Bhd, anak syarikat Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) yang dilantik untuk mengendalikan projek MRT Circle Line (MRT3) yang ditauliahkan sepenuhnya. - DagangNews.com