Benalec batal 2 MoU berkaitan projek Taman Perindustrian Maritim Pengerang | DagangNews Skip to main content

Benalec batal 2 MoU berkaitan projek Taman Perindustrian Maritim Pengerang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - Benalec Holdings Berhad menamatkan dua Memorandum Persefahaman (MoU) kerana pihak yang terlibat gagal mencapai kata sepakat mengenai projek Taman Perindustrian Maritim Pengerang (PMIP).

 

Pakar pembinaan marin itu memberitahu Bursa Malaysia bahawa mereka menamatkan MOU pertama dengan Shanxi Construction Investment Group Co Ltd (SCIG), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Institut Kimia Arang Batu, Akademi Sains China mengenai pengeluaran biodiesel generasi kedua dan bahan api biojet di Malaysia.

 

Benalec sebelum ini menandatangani perjanjian dengan ketiga-tiga mereka pada Disember 2021 bagi bertukar kepakaran teknikal bagi penyediaan dan memuktamadkan laporan kebolehlaksanaan serta penilaian teknikal, yang akan dimasukkan ke dalam cadangan kilang pengeluaran di PMIP.

 

“Pembtalan itu berkuat kuasa serta-merta dan tidak akan memberi kesan kewangan kepada syarikat dan anak syarikatnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23),” katanya.

 

Sementara itu, dalam makluman berasingan, Benalec turut mengumumkan penamatan MOU keduanya dengan SCIG mengenai pembangunan dan pelaksanaan pelan lokasi tapak di PMIP untuk cadangan pembangunan loji biodiesel minyak sawit di Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, penamatan MOU itu tidak akan memberi sebarang kesan kewangan kepada syarikat. - DagangNews.com