BIMB Investment lancarkan dana BGSEAIT dengan tumpuan kepada sektor teknologi | DagangNews Skip to main content

BIMB Investment lancarkan dana BGSEAIT dengan tumpuan kepada sektor teknologi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) melancarkan dana ekuiti patuh syariah BIMB-ARABESQUE Global Shariah-ESG AI Technology Fund (BGSEAIT) yang memberikan pulangan pelaburan dalam ekuiti teknologi global.  

 

Dana berkenaan memanfaatkan trend pasaran teknologi yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini oleh Arabesque AI iaitu unit perniagaan kecerdasan buatan Arabesque Group.

 

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pandemik COVID-19 memainkan peranan penting dalam mengubah amalan pengguna serta perniagaan ke arah penggunaan teknologi digital dalam aktiviti masing-masing.

 

"Prestasi sektor teknologi berkembang dengan baik sejak dua tahun lalu dan kami menjangkakan ia akan terus mencatatkan pertumbuhan dalam masa beberapa tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, BGSEAIT berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan dalam sektor teknologi tempatan dan antarabangsa,

 

"Dana ini menyediakan kepada pelabur saluran tambahan untuk mencapai peningkatan dalam jangka panjang dan sederhana, melalui BGSEAIT, pelabur  berpotensi untuk meningkatkan pendedahan portfolio pelaburan mereka kepada saham-saham berkaitan teknologi," katanya.

 

BGSEAIT akan melabur antara 70% sehingga 98% dalam ekuiti tersenarai dan sekuriti berkaitan ekuiti patuh syariah di Malaysia dan syarikat asing yang dikawal selia oleh ahli biasa atau ahli bersekutu Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (“IOSCO”) dan bursa adalah ahli atau ahli gabungan Persekutuan Bursa Dunia (“WFE”). 

 

Buat masa sekarang, dana berkenaan ditawarkan dalam Ringgit Malaysia (RM) dan Dollar Amerika Syarikat (AS$).

 

Pelabur boleh memulakan pelaburan serendah RM500 atau AS$500 (RM2,113) dengan pelaburan tambahan bermula pada jumlah minimum RM100 dan AS$100 (RM423). - DagangNews.com