BIMB Investment umum agihan pendapatan 6.02% bagi dana ekuiti BiGDF1 | DagangNews Skip to main content

BIMB Investment umum agihan pendapatan 6.02% bagi dana ekuiti BiGDF1

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), mengisytiharkan hasil agihan pendapatan untuk BIMB-Arabesque i Global Dividend Fund 1 (BiGDF1) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24).

 

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Azdini Nor Azman berkata keyakinan pemegang unit terhadap BiGDF1 telah mendorong kepada prestasi kukuh, membawa kepada agihan pendapatan sebanyak 2.90 sen seunit untuk Kelas RM (ringgit Malaysia) dan Kelas USD (dolar Amerika Syarikat).

 

Sementara itu, agihan pendapatan bagi Kelas Lindung Nilai RM dan Kelas SGD (dolar Singapura) masing-masing sebanyak 2.80 sen seunit dan 2.60 sen seunit.

 

 

table
Agihan pendapatan BiGDF1

 

 

Menurut Azdini, dengan BiGDF1, landskap pengurusan dana berkembang melalui rumusan teknologi kewangan yang membina portfolio pelaburan bertumpukan kepada pertumbuhan modal, di samping menguruskan turun naik pasaran secara efektif, menganalisis data dan membuat keputusan tanpa intuisi.

 

“BiGDF1 menggabungkan nilai Syariah dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan lancar memanfaatkan kuasa teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memberikan prestasi konsisten dan mampan.

 

“Kami kekal kukuh menyampaikan nilai dan prestasi mampan dengan pengurusan risiko menjadi keutamaan komitmen kepada pelabur,” tambahnya.

 

 

Azdini Nor Azman
Azdini Nor Azman

 

 

Pertama kali diperkenalkan pada November 2015 dan dilancarkan semula pada 2019 untuk pelabur runcit, syarikat pengurusan pelaburan Syariah-ESG itu berkata BiGDF1 merupakan satu daripada dana ekuiti global Syariah terbesar di Malaysia, dengan saiz dana lebih RM200 juta setakat 31 Ogos 2023, menurut kedudukan Refinitiv Lipper IM.

 

Dana tersebut mengkhusus kepada peningkatan modal jangka panjang dan menyediakan akses kepada pelaburan dalam ekuiti global patuh Syariah, dengan toleransi risiko sederhana hingga tinggi dan tempoh pelaburan lima tahun atau lebih.

 

BiGDF1 melabur sekurang-kurangnya 90% daripada nilai aset bersih (NAV) daripada dana tersebut ke dalam Dana Sasaran dan maksimum 10% daripada NAV ke dalam deposit tetap Islam, instrumen pasaran wang Islam dan/atau pasaran cair Islam.

 

Dana tersebut mengimbangi semula portfolionya setiap hari di antara ekuiti dan tunai untuk pulangan pelaburan risiko terlaras yang mampan dan mengurangkan risiko dan pengeluaran semasa kegagalan pasaran.

 

Jumlah pelaburan permulaan minimum ialah RM500 untuk Kelas RM dan Kelas Terlindung Nilai RM; S$500 untuk Kelas SGD; dan AS$500 untuk Kelas USD.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata kumpulan Bank Islam kekal komited menggabungkan prinsip Syariah dan mempertimbangkan faktor ESG.

 

“Komitmen ini bertujuan untuk meningkatkan daya tahan dan memupuk rangkuman kewangan. Kami percaya pelaburan tertumpu ESG bersedia untuk menjadi trend semasa, dan syarikat yang mengutamakan pertimbangan ESG akan cemerlang dan menunjukkan daya tahan jangka panjang yang lebih besar,” katanya. - DagangNews.com