Boikot Starbucks, CGS-CIMB Research anggar jualan jangka pendek dan harga saham Berjaya Food terjejas | DagangNews Skip to main content

Boikot Starbucks, CGS-CIMB Research anggar jualan jangka pendek dan harga saham Berjaya Food terjejas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Tindakan sebahagian rakyat Malaysia memboikot outlet Starbucks sebagai bantahan terhadap kekejaman Israel terhadap penindasan rakyat Palestin dianggar menjejaskan jualan jangka pendek Berjaya Food Berhad dan harga sahamnya.

 

CGS-CIMB Research menganggarkan penurunan sebanyak 15% bagi jualan FY24 yang diterjemahkan kepada penurunan untung bersih teras sebanyak 30% berbanding anggaran semasa sebanyak RM107.9 juta.

 

Katanya, sebelum ini pada 2017, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyeru 500,000 ahlinya memboikot Starbucks berikutan sokongan mereka terhadap hak LGBT dan melobi kerajaan bagi membatalkan lesen perniagaan yang diberikan kepada Starbucks di Malaysia yang dikendalikan oleh Berjaya Food.

 

"Bagaimanapun, kami mendapati jualan Berjaya Food pada masa itu sebahagian besarnya tidak terjejas dan tindak balas harga saham yang negatif adalah sementara diikuti oleh kenaikan harga saham sebanyak 39% dalam tempoh enam bulan selepas itu. 

 

"Kami mengakui bahawa kedua-dua insiden di atas tidak dapat dibandingkan, ia memberikan beberapa asas untuk perbandingan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kempen boikot produk yang dilihat menyokong keganasan Israel masih berterusan malah bertambah rancak di media sosial membuatkan outlet jenama terkenal seperti Starbucks semakin lengang dan membuatkan jualan mereka semakin merosot.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun positif terhadap tajektori pertumbuhan jangka panjang Berhaya Food selepas mengambil kira kedudukannya yang kukuh.

 

Katanya, kumpulan itu dijangka kembali kepada pertumbuhan sebanyak 3.6%/12.5%/10.3% pada FY24/25/26, didorong oleh pertumbuhan hasil antara 3% hingg 8% melalui pembukaan lebih banyak outlet Starbucks yang lebih banyak.

 

"Selain itu ia juga didorong pemulihan dalam margin keuntungan kerana kos input yang lebih rendah menjadi lebih mudah dari 2HFY24 dan seterusnya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM1.00 sesaham" katanya. - DagangNews.com