BTS lonjak jualan McDonald’s di seluruh dunia semasa pandemik | DagangNews Skip to main content

BTS lonjak jualan McDonald’s di seluruh dunia semasa pandemik

SHAH ALAM 31 Julai – McDonald’s mencatat peningkatan jualan global yang luar biasa, didorong terutamanya oleh pengenalan juadah kumpulan penyanyi lelaki terkenal dari Korea, BTS.

 

CNN Business melaporkan restoran McDonald’s yang beroperasi sekurang-kurangnya 13 bulan semasa pandemik COVID-19 ini telah mencatat jualan sebanyak 40.5% pada suku kedua tahun 2021.

 

McDonald’s juga mencatat perolehan sebanyak AS$5.9 bilion (RM24.9 bilion) bagi suku tahunan tersebut, melangkaui unjuran awal Wall Street sebanyak AS$5.6 bilion.

 

McD
PETUGAS McDonald's bertungkus-lumus menyiapkan pesanan BTS Meal (warna ungu khas) pada hari pelancaran 26 Mei lalu.

 

Francais makanan segera itu menyifatkan pencapaian mereka itu didorong terutamanya oleh BTS Meal dan sanwich ayam rangup baharunya, ketika semua pengendali sektor F&B (Makanan & Minuman) berdepan tekanan akibat pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

 

BTS Meal yang dilancarkan untuk masa terhad pada 26 Mei lalu, mengandungi 10 jenis hidangan iaitu Chicken McNuggets, kentang medium, Coke, dan sos cili manis serta sos berperisa Cajun.

 

Fakta menarik ialah Malaysia merupakan negara pertama di Asia yang mula-mula merasai juadah BTS pada 26 Mei, dan media melaporkan para peminatnya sanggup beratur panjang di restoran McDonald’s pada hari pelancaran.

 

Difahamkan, para peminat setia kumpulan K-Pop ini menyimpan bungkusan BTS Meal sebagai koleksi, sama ada untuk simpanan peribadi dan ada segelintir menjualnya semula.

 

BTS Meal adalah sebahagian program selebriti McDonald’s yang bermula di Amerika Syarikat pada tahun lalu, bermula dengan penyanyi rap, Travis Scott dan J Balvin.

 

bts
ADA yang sanggup mengkitar semula bungkusan juadah BTS McDonald's dan menjualnya semula dengan kreativiti.

 

BTS dan McDonald’s juga menjual barangan eksklusif sempena pengenalan juadah tersebut, dengan warna ungu melingkari logo McDonald’s. – DagangNews.com