Bursa jatuh di bawah 1,600 mata | DagangNews Skip to main content

Bursa jatuh di bawah 1,600 mata

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Ketidakpastian yang membelenggu pilihan raya senat di Georgia mempengaruhi keseluruhan pasaran saham di Asia dan tidak terkecuali, Malaysia apabila jatuh di bawah paras 1,600 mata. 

 

Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 1.02% atau 16.38 mata untuk ditutup rendah petang ini kepada 1,591.97 sejajar dengan pasaran serantau yang lemah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.73 bilion bernilai RM4.4 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 965 berbanding 287 manakala 386 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0080/0130 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam pada, RM4.0140/0200. 

 

Menurut Reuters, pasaran Indonesia menerajui pasaran saham Asia yang mencatat penurunan hari ini ekoran langkah sekatan yang ketat bagi mengekang wabak COVID-19. 

 

Mata wang di rantau ini pula memperoleh keuntungan berikutan keputusan pilihan raya senat AS yang belum mencapai kata putus. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, saham berkaitan perbankan mengalami kerugian selepas Fitch Ratings mengunjurkan prospek negatif bagi bank-bank global pada tahun ini.  

 

Agensi penarafan itu berkata isu utama yang dihadapi bank-bank di Malaysia adalah pengiktirafan pinjaman tidak berbayar yang perlahan, keuntungan rendah dan risiko pasaran hartanah. 

 

"CIMB menyusut paling banyak dalam kalangan saham perbankan yang lain di bawah indeks FBM KLCI dengan jatuh 3.3% pada hari ini. 

 

"Keadaan ini menyaksikan indeks perkhidmatan kewangan rugi sebanyak 1.5%," katanya.

 

Namun, menurut beliau, indeks pembinaan menyusut paling tinggi, iaitu 2.6% susulan langkah kerajaan menamatkan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang menyebabkan sentimen kelembapan bagi syarikat pembinaan dan bahan pembinaan. 

 

"Dari sudut lain, kaunter sarung getah seperti Top Glove dan Supermax masing-masing meraih peningkatan sebanyak 0.7% dan 0.5% selepas berdepan penjualan besar-besaran awal minggu ini. 

 

"Indeks kesihatan juga mengikut langkah sama apabila ditutup 1.2%," katanya. - DagangNews.com