Bursa Malaysia, DCE meterai kerjasama pelesenan harga penyelesaian niaga hadapan minyak soya | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia, DCE meterai kerjasama pelesenan harga penyelesaian niaga hadapan minyak soya

Datuk Muhamad Umar Swift (kanan) bersama Yan Shaoming di Persidangan Minyak Antarabangsa China ke-17 di Dalian, China
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Bursa Malaysia Derivatives Berhad (BMD) dan Dalian Commodity Exchange (DCE) telah menandatangani perjanjian bagipelesenan harga penyelesaian niaga hadapan minyak kacang soya.

 

Ia merupakan kerjasama produk pertama antara bursa derivatif China dan bursa Asia yang berpangkalan di luar negara itu.

 

Menerusi perjanjian itu, DCE membenarkan penggunaan harga penyelesaian niaga hadapan minyak kacang soya DCE oleh BMD sebagai asas mengira harga penyelesaian tunai produk baharunya yang akan datang, kontrak niaga hadapan minyak kacang soya DCE (FSOY) Bursa Malaysia.

 

Aset asas FSOY akan mencerminkan niaga hadapan minyak kacang soya DCE. Bursa Malaysia menyasarkan pelancaran produk itu pada suku pertama 2024, tertakluk kepada kelulusan kawal selia.

 

Kerjasama terbaharu antara BMD dan DCE menandakan kejayaan bersejarah dalam pembangunan pasaran derivatif Asia.

 

“Ia mewakili contoh pertama bursa derivatif China yang membenarkan bursa Asia untuk memasukkan harga penyelesaian niaga hadapan komoditi China ke dalam penawaran produknya.

 

“Pada masa yang sama, kerjasama itu mengguna pakai harga niaga hadapan komoditi asing sebagai asas harga penyelesaian tunai bukan sahaja menjadi contoh untuk pasaran niaga hadapan Malaysia, tetapi juga memanfaatkan kejayaan terbukti kontrak niaga hadapan minyak kacang soya DCE,” kata entiti itu dalam satu kenyataan bersama, hari ini, lapor Bernama.

 

Perjanjian pelesenan telah ditandatangani pada Persidangan Minyak dan Biji Minyak Antarabangsa China ke-17 di Dalian, China, acara penting dalam industri minyak dan biji minyak global yang dianjurkan bersama oleh DCE dan BMD.

 

Perjanjian pelesenan harga penyelesaian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pegawai Eksekutif DCE Yan Shaoming.

 

Muhamad Umar berkata, sebagai pasaran derivatif komoditi terkemuka di Asean, BMD terus membangunkan produk untuk membantu peserta pasaran mengharungi kerumitan pasaran antarabangsa dan menemui peluang perdagangan.

 

“Melalui kerjasama ini, kami berbangga menawarkan penyelesaian inovatif yang memudahkan akses pasaran, dan memperkasakan pemain industri bagi menguruskan risiko rentas pasaran dengan berkesan,” katanya.

 

Niaga hadapan minyak kacang soya yang dilancarkan oleh DCE pada 2006 digunakan secara meluas sebagai rujukan harga untuk perdagangan minyak kacang soya spot China, manakala peserta pasaran institusi mereka adalah pemain industri yang menyumbang 90% daripada jumlah penghancuran kacang soya di China. - DagangNews.com