Bursa Malaysia perluas rangka kerja pembuatan pasaran | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia perluas rangka kerja pembuatan pasaran

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR  8 Dis. – Dalam usaha meningkatkan kecekapan pasaran dan menggalakkan kecairan atau mudah tunai, Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) telah memperluas rangka kerja pembuatan pasaran (market- making) yang berkuatkuasa semalam. 

 

Melalui rangka kerja itu, penggerak-penggerak pasaran (market makers) diberikan lebih fleksibiliti untuk memberi harga dan bertindak balas terhadap kehendak-kehendak pasaran. 

 

Bursa Malaysia dalam sebuah kenyataan berkata, perubahan-perubahan yang diperkenalkan melalui rangka kerja pembuatan pasaran baharu itu bertujuan mempertingkatkan kebolehan penggerak-penggerak pasaran dalam mengurus risiko mereka dengan melindungi nilai pendedahan kepada turun naik harga bagi sekuriti-sekuriti asas. 

 

“Rangka kerja pembuatan pasaran yang diperluas tersebut akan memupuk pasaran yang lebih cekap melalui perubahan–perubahan termasuk kriteria kelayakan bagi entiti asing untuk menjadi penggerak pasaran telah diperluas kepada membenarkan entiti asing yang memenuhi Peraturan Bursa Malaysia Securities Berhad (BMS) untuk mendaftar sebagai penggerak pasaran. 

 

“Kriteria kelayakan ini adalah tambahan kepada broker sekuriti dan derivatif yang telah dibenarkan untuk mengambil bahagian. Kedua, satu kategori baharu penggerak-penggerak pasaran telah diperkenalkan sebagai Pakar Derivatif yang akan membenarkan penggunaan rangka kerja Jualan Singkat yang Dibenarkan (PSS) bagi tujuan pembuatan pasaran,” kata Bursa Malaysia.

 

Dalam pada itu, sebuah entiti yang telah dilantik oleh Bursa Malaysia Derivatives Berhad (BMD) sebagai penggerak pasaran untuk Kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal atau Kontrak Opsyen Saham boleh memohon kepada Bursa Securities untuk didaftarkan sebagai Pakar Derivatif. 

 

Walau bagaimanapun, pada masa ini, tiada Kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal yang tersenarai di BMD. 

 

Menurut syarikat itu, seseorang pakar derivatif adalah dibenarkan untuk menjalankan PSS bagi sekuriti-sekuriti asas Kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal atau Kontrak Opsyen Saham yang merupakan Sekuriti Dibenarkan, sebagai sebahagian daripada aktiviti pembuatan pasaran Pakar Derivatif dalam pasaran derivatif. 

 

Perubahan ketiga adalah penggerak-penggerak pasaran yang sedia ada bagi produk Waran Berstruktur (SW), Opsyen Saham Tunggal (SSO) dan Niaga Hadapan Saham Tunggal (SSF) juga dibenarkan menyertai PSS. 

 

“Ekoran daripada itu, perluasan rangka kerja PSS sekarang membenarkan penggerak-penggerak pasaran dari pasaran yang tertera di atas untuk melaksanakan PSS bagi sekuriti–sekuriti asas SW, SSO dan SSF yang merupakan Sekuriti–Sekuriti yang Dibenarkan.

 

“Bagi penggerak-penggerak pasaran SW, PSS akan membolehkan penerbitan niaga hadapan waran berstruktur (single stock put warrants) yang seringkali memerlukan penggerak-penggerak pasaran untuk menjual singkat (short sell) saham–saham asas bagi melindungi nilai kedudukan waran put mereka. 

 

“Ini akan memberikan kelebihan kepada pasaran SW dengan memperkenalkan kepelbagaian yang lebih nyata. Oleh yang demikian, penerbitan lebih banyak waran put akan membolehkan peserta pasaran untuk membeli put-put yang dilindungi dan mendapat menfaat daripada pergerakan ke bawah bagi instrumen asas,” tambah Bursa Malaysia. 

 

Bagi SSO dan SSF pula, Bursa Malaysia berkata, kebolehan untuk menjalankan PSS adalah sangat penting. 

 

Tanpanya, kebolehan penggerak-penggerak pasaran untuk menyediakan kecairan kepada para pelabur akan terbantut. 

 

Penggerak-penggerak pasaran adalah sebahagian daripada ekosistem pasaran, di mana ia menambah kecekapan pasaran dan menyediakan kecairan yang lebih, khususnya bagi saham-saham yang kurang mudah tunai dan kurang diniagakan. 

 

“Oleh yang demikian, kami percaya bahawa perluasan rangka kerja ini akan mempertingkatkan persaingan dan kelebihan pasaran dan menarik lebih ramai pelabur dan peserta–peserta pasaran,” ujar Bursa Malaysia. - DagangNews.com