KUALA LUMPUR 1 Nov - Cadangan penghapusan harga siling ayam dan telur serta penamatan subsidi kerajaan bermula 1 November 2023 adalah positif kepada Leong Hup International Berhad.
TA Research berkata, langkah itu membolehkan syarikat itu memperoleh semula kuasa penetapan harganya bagi melindungi margin daripada pergerakan yang tidak menggalakkan dalam kos makanan dan tukaran mata wang asing.
Katanya, sejak 1 Julai 2023, harga siling ayam daging telah diselaraskan kepada RM9.40/kg dengan subsidi RM0.80/kg.
"Bagaimanapun, harga runcit ayam pedaging menurun di bawah harga siling disebabkan kos makanan, terutamanya jagung dan kacang soya, yang masing-masing merosot lebih daripada 35% dan 25%, daripada puncak pada 2022.
"Ini adalah positif kepada LHI kerana jagung dan kacang soya merupakan bahan utama kilang makanan masing-masing 70% dan 25%.
"Melihat ke hadapan, kami percaya persekitaran operasi yang bertambah baik akan meningkatkan unjuran pendapatan FY23/24 kumpulan masing-masing sebanyak 11%/14.3%, berikutan pengurangan kos kilang makanan untuk jagung dan kacang soya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa hari ini bagaimanapun subsidi telur gred A, B, C, akan diteruskan mengikut mekanisme sedia ada..
Penamatan subsidi itu adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan.
TA Research menjangkakan Leong Hup mengalami pertumbuhan pendapatan yang lebih teguh pada 2HFY23 berbanding 1HFY23, didorong oleh penggunaan domestik yang kukuh.
Selain itu, kumpulan itu sedang berusaha untuk mengembangkan jualan eksportnya ke Singapura, terutamanya selepas sekatan eksport yang dinormalisasi sepenuhnya berkuat kuasa pada Julai 2023.
"Selain itu, syarikat itu dijangka mengekalkan trajektori jualan positif di wilayah Indonesia dan Vietnam, berikutan pertumbuhan suku tahun ke suku tahun dua angka yang dicatatkan pada suku sebelumnya berikutan permintaan kukuh.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 89 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com