Capaian jalur lebar pedalaman terus diberi perhatian | DagangNews Skip to main content

Capaian jalur lebar pedalaman terus diberi perhatian

Kawasan pedalaman. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 April - Usaha memperluas capaian perkhidmatan jalur lebar terus diberi perhatian khususnya di kawasan pedalam. 

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, usaha tersebut merupakan komitmen kerajaan untuk menjayakan pembangunan ke arah transformasi digital negara menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan inisiatif MyDIGITAL.

 

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah.

 

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memuktamadkan proses pemberian tender bagi perkhidmatan capaian jalur lebar menerusi satelit untuk 839 lokasi terpencil.

 

"Penilaian tender daripada pemegang lesen pemberi perkhidmatan yang layak akan dimulakan sebaik sahaja permohonan ditutup pada 15 April 2021," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, lokasi yang terlibat terdiri daripada 178 penempatan Orang Asli di Kelantan, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

 

Kawasan-kawasan berkenaan terletak jauh daripada kemudahan rangkaian telekomunikasi sedia ada dan sebahagiannya sukar dilalui jentera berat disebabkan oleh keadaan bentuk muka bumi.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, projek berkenaan disasarkan siap pada bulan Oktober 2021.

 

Projek berkenaan akan membolehkan penduduk di lokasi berkenaan menikmati perkhidmatan Wi-Fi secara percuma dengan kelajuan purata 35Mbps.

 

Ujarnya, usaha di bawah inisiatif Jendela itu merupakan penyelesaian sementara bagi tempoh dua tahun sebelum membina infrastruktur kekal bagi penyambungan rangkaian telekomunikasi.

 

"Pelaksanaan Jendela bagi tujuan ini amat penting untuk merapatkan jurang digital agar tiada yang ketinggalan dalam arus perubahan dan bagi membolehkan setiap rakyat terlibat dalam ekonomi digital.

 

"Dengan capaian internet yang menyeluruh dan berkualiti, semua rakyat Malaysia dapat membina kemahiran digital serta menikmati manfaat transformasi pendigitalan ke arah Revolusi Industri 4.0. - DagangNews.com