Carsome Academy tingkat kemahiran tenaga kerja automotif | DagangNews Skip to main content

Carsome Academy tingkat kemahiran tenaga kerja automotif

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan.  - Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, menubuhkan institusi teknikalnya yang pertama di Malaysia baru-baru ini untuk menawarkan pendidikan teknikal dan peluang kerjaya yang terjamin bagi golongan belia di Malaysia.

 

Dikenali sebagai Carsome Academy, institusi tersebut merupakan pusat latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

 

Menurut Pengasas Bersama Carsome merangkap Pengarah Carsome Academy, Teoh Jiun Ee, institusi itu merupakan inisiatif pembangunan modal insan yang bersasar bagi mewujudkan impak sosial yang positif dalam komuniti setempat di mana Carsome beroperasi.

 

“Kami ingin membangunkan tenaga kerja teknikal yang berusaha untuk mencapai standard profesionalisme dan etika yang terbaik bagi memajukan industri kereta terpakai di Asia Tenggara serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami.

 

Teoh Jiun Ee
Teoh Jiun Ee

 

“Setelah bertahun-tahun dalam industri ini, Carsome telah berjaya membina platform yang diyakini semua dan menjadi kebanggaan kami.

 

“Kini, hasrat kami adalah supaya lebih ramai pekerja industri ini dapat merasai kebanggaan tersebut menerusi latihan dan penilaian yang diperakui dan diiktiraf oleh industri, dan turut dilengkapi peralatan digital terbaik,” kata Jiun Ee dalam sebuah kenyataan.

 

Sebagai platform e-dagang kereta bersepadu pertama yang menyediakan kursus dan pensijilan kemahiran, Carsome Academy komited untuk membangunkan tenaga kerja yang mampan dalam industri automotif.

 

Ini akan dapat dicapai menerusi latihan industri selama 1,840 jam untuk membina kemahiran teknikal dan mengukuhkan keupayaan penuntut.

 

Carsome Academy menawarkan program latihan berorientasikan industri yang menggabungkan latihan di institusi dan di tempat kerja.

 

Para penuntut akan menjalani 30% pengajian berasaskan teori di Carsome Academy, diikuti oleh 70% latihan industri di mana-mana Pusat Pemeriksaan Carsome di Malaysia.

 

Carsome Academy juga memberi jaminan bahawa para graduan akan mendapat pekerjaan di Carsome.

 

Pada ketika ini, Carsome Academy menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Kelayakan Jalan) yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia serta industri teknikal.

 

Institusi tersebut akan mula menerima kemasukan pelajar buat julung kalinya pada Februari 2021, dan pendaftaran kini dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur bawah 30 tahun yang mempunyai kelulusan minimum dalam Sistem Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

 

Kos bagi kursus selama setahun itu adalah RM8,000 dan boleh dikembalikan sepenuhnya setelah lulus memenuhi tempoh pekerjaan dengan Carsome.

 

Pinjaman pendidikan juga disediakan bagi penuntut yang ingin melanjutkan pelajaran mereka di akademi tersebut.

 

Dengan wawasan untuk membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan sedia untuk berkhidmat di Asia Tenggara, Carsome Academy berhasrat untuk terus memperkenalkan kursus-kursus baharu pada masa akan datang bagi mewujudkan golongan profesional teknikal yang serba boleh dalam industri automotif.

 

Carsome Academy turut meneroka kerjasama dengan pelbagai pemain industri automotif untuk menyediakan pengalaman pembelajaran dan amali yang terbaik, serta peluang kerjaya untuk para pelajar. - DagangNews.com