CGC, Standard Chartered bekerjasama lancar pembiayaan RM300 juta bagi membantu perkembangan PKS | DagangNews Skip to main content

CGC, Standard Chartered bekerjasama lancar pembiayaan RM300 juta bagi membantu perkembangan PKS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - Standard Chartered Malaysia and Standard Chartered Saadiq Malaysia memeterai perjanjian Skim Jaminan Portfolio (PG) Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan baharu sebanyak RM300 juta bagi membantu pelan perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

 

Menerusi perjanjian itu sejumlah RM200 juta kemudahan perbankan konvensional dan RM100 juta dalam kemudahan perbankan Islam akan disediakan kepada PKS yang sedang berkembang bagi memudahkan penerokaan pasaran baharu dan transformasi digital mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien berkata, PKS merupakan pemangkin dalam memajukan Malaysia kerana mereka cepat berubah dan menyesuaikan diri dengan cara baharu untuk menjalankan perniagaan. 

 

"Kami komited untuk menyokong PKS dengan menyediakan rumusan menyeluruh merentas pinjaman berjangka, modal kerja perdagangan serta rumusan tunai dan kekayaan yang disokong oleh perbankan dalam talian Straight2Bank dan keupayaan rangkaian kami,” katanya alam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, kerjasama dengan Standard Chartered memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia.

 

Beliau berkata, mengimbas kembali perjalanan sejak 2009 bersama Standard Chartered Malaysia dan Standard Chartered Saadiq sejak 2013, ternyata pihaknya telah mencapai kemajuan yang ketara dengan kejayaan melancarkan 24 tranche PG berjumlah RM2.46 bilion, memberi impak yang besar kepada lebih 4,650 PKS.

 

"PG ini mewakili komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada PKS dan menyerlahkan sokongan berterusan dan kerja berpasukan antara Standard Chartered dan CGC sejak 15 tahun lalu,” katanya.

 

Standard Chartered merupakan bank pertama memeterai perjanjian PG dengan CGC pada 2009.

 

Bank itu memberi fokus kepada memudahkan pendigitalan PKS di Malaysia dengan menawarkan platform digital yang memperkasakan perniagaan bagi mengurus modal kerja dengan berkesan dan mencapai pertumbuhan yang mampan. - DagangNews.com