KUALA LUMPUR 27 Jan - CGS-CIMB mengunjurkan Bursa Malaysia Berhad mencatatkan penurunan 6.9% dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) kepada RM2.17 bilion pada 2023.
Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan risiko makroekonomi daripada potensi kemelesetan di negara-negara Barat.
Katanya, Bursa Malaysia juga dijangka mengalami penurunan untung bersih sebanyak 22.1% tahun ke tahun kepada RM50.6 juta untuk suku keempat 2022 (4QFY22), berikutan kejatuhan 9.4% tahun ke tahun dalam hasil operasi.
"Unjuran itu adalah berdasarkan andaian kami untuk 4QFY22, iaitu penurunan 22.1% tahun ke tahun dalam pendapatan ekuiti, 13.1% peningkatan dalam pendapatan derivatif, pendapatan lain tidak berubah, peningkatan 7% kos operasi dan kadar cukai sebanyak 27%.
"Keuntungan bersih Bursa Malaysia bagi FY22 adalah sekitar RM228.2 juta dan ia dianggap sejajar dengan jangkaan kami (1.6% melebihi unjuran sebanyak RM224.7 juta)," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu juga mengunjurkan pemulihan untung bersih berbanding penurunan 36.8% pada FY22 kepada peningkatan 6.5% pada FY23, berikutan peningkatan 1.7% dalam jumlah hasil pada FY23 (berbanding penurunan sebanyak 19.1% pada FY22), dan ketiadaan Cukai Makmur pada FY23.
“Bagaimanapun, kami percaya harga ini telah ditetapkan, kerana harga sahamnya meningkat 11.7% daripada paras terendah RM6 pada 20 Oktober 2022 kepada RM6.70 pada 25 Januari 2023," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' untuk saham itu pada harga sasaran (TP) RM6.60.
Firma itu berkata, ADTV ekuiti Bursa mengalami kejatuhan untuk enam suku berturut-turut (dari 2QFY21 hingga 3QFY22) dan menyaksikan aliran menurun terhenti pada 4QFY22, dengan ekuiti ADTV meningkat sebanyak 19.8%.
Pemegang saham utama Bursa Malaysia adalah Dana Pembangunan Pasaran Modal (memegang 18.6% kepentingan), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau dikenali sebagai KWAP (dengan pegangan 11.2%), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (dengan pegangan 5.3%). - DagangNews.com