KUALA LUMPUR 30 Okt - Pengurusan CIMB Group Holdings Berhad mengekalkan sasaran pertumbuhan pinjaman antara 6% hingga 8% bagi FY23 dan pada masa sama mengunjurkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 14% hingga 16%.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pengurusan juga menurunkan panduan kos kredit FY23 antara 1.1% hingga 1.2% berbanding 1.6% hingga 1.8% sebelumnya.
Katanya, kos kredit purata kumpulan itu lebih rendah iaitu 1.2% bagi sembilan bulan 2023 berbanding 1.8% padasembilan bulan 2022.
"Kualiti aset bank adalah stabil dari suku tahun ke suku tahun pada akhir September 2023.
"Oleh itu, kos kredit jauh lebih rendah iaitu pada 0.4% pada suku ketiga 2023 berbanding 1.8% pada suku kedua tahun ini dan 1.5% pada tiga bulan pertama 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penye;idikan itu berkata, deposit perbankan pengguna meningkat 6.0% dari tahun ke tahun manakala pertumbuhan akaun semasa dan simpanan (CASA) adalah lebih perlahan iaitu 4.5% dari tahun ke tahun.
Katanya, pertumbuhan deposit adalah lebih tinggi iaitu 9.2% dari tahun ke tahun.
"Nisbah CASA runcitnya ialah 63.1% pada akhir September 2023 berbanding 62.5% pada akhir Jun 2023, manakala nisbah CASA bukan runcitnya ialah 74.1% berbanding 67.8% pada akhir Jun 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Maybank IB berkata, perbelanjaan operasi bagi suku ketiga 2023 merosot 2% dari suku tahun ke suku tahun dan secara kumulatif, meningkat 2.6% pada sembilan bulan tahun ini.
"Perbelanjaan kakitangan bagi sembilan bulan tahun ini meningkat 8.7% tetapi diimbangi oleh teknologi rendah (-8.2%) dan perbelanjaan lain (-2.5%).
"Nisbah kos/pendapatan (CIR) bank itu stabil pada 44.2% pada sembilan bulan 2023 berbanding 44.4% pada sembilan bulan tahun lalu," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.50 sesaham. - DagangNews.com