CIMB lancar pembiayaan SMEBizReady untuk PKS sempena penganjuran edisi ketiga Bazar Siberturahim Fashion Fest | DagangNews Skip to main content

CIMB lancar pembiayaan SMEBizReady untuk PKS sempena penganjuran edisi ketiga Bazar Siberturahim Fashion Fest

CIMB melancarkan produk pembiayaan baharu SMEBizReady untuk memperkasakan PKS sempena penganjuran Bazar Siberturahim Fashion Fest di KLGCC pada 4 Mac 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad melancarkan produk pembiayaan baharu CIMB SMEBizReady untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sempena penganjuran edisi ketiga 'Bazar Siberturahim Fashion Fest' di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Komersial dan Transaksi Kumpulan CIMB, Lawrence Loh berkata, produk itu merupakan rumusan berpaksikan pendigitalan, teknologi dan kemampanan.

 

Katanya, pihaknya mengutamakan inisiatif untuk melengkapkan keperluan PKS dalam pelbagai industri yang akan membantu kemampanan dan jangka hayat perniagaan mereka. 

 

"CIMB SMEBizReady direka untuk menyediakan pembiayaan berasaskan nilai (VBF) untuk membuka potensi mereka melalui pelbagai pembiayaan yang disasarkan bersama-sama dengan akses kepada penyedia rumusan teknologi.

 

"Kami gembira dapat memangkin peranan dalam evolusi mereka, menerima pakai pendigitalan dan teknologi mampan dan menyumbang kepada kejayaan PKS di negara ini," katanya ketika bercakap kepada media di sini hari ini.

 

 

 

 

Sokongan CIMB untuk PKS menerusi kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) kepada menyediakan jaminan untuk pembiayaan PKS melalui skim khas tanpa syarat cagaran.

 

Cadangan VBF merupakan sebahagian daripada komitmen CIMB kepada PKS melalui sejumlah RM30 bilion pembiayaan dari 2022 hingga 2024, katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya turut melancarkan edisi ketiga Bazar Siberturahim Fashion Fest yang berlangsung bermula 2 hingga 10 Mac 2024 di KLGCC.

 

 

CIMB
Ahmad Shahriman Mohd Shariff (kiri) bersama Khairy Jamaluddin (tengah) dan Shahril Hamdan ketika sesi bual bicara ‘Preserving Multi-Generational Wealth' sempena penganjuran Bazar Siberturahim Fashion Fest di KLGCC pada 4 Mac 2024.

 

 

Katanya, Bazar Siberturahim edisi tahun ini merupakan yang paling bermakna dari segi peluang penyediaan kepada pereka tempatan, pemilik perniagaan dan pelanggan. 

 

"Melalui acara ini, CIMB Islamic berbesar hati untuk menyokong individu dan PKS dalam mencapai potensi mereka melalui seperti SME BizReady dan perancangan kewangan dan kekayaan. 

 

"Platform bersepadu itu membolehkan kami menyampaikan impak positif yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, memupuk rangkuman kewangan dan bakat tempatan serta pelanggan dan komuniti," katanya.

 

 

CIMB
Sesi pertunjukan fesyen daripada jenama terkenal tempatan di Bazar Siberturahim Fashion Fest di KLGCC.

 

 

Dalam pada itu, pemegang kad CIMB boleh mendapatkan diskaun istimewa di bazar tersebut. Tawaran juga boleh didapati di butik pereka dan kedai dalam talian sehingga 31 Mei 2024. 

 

 

CIMB
Orang ramai mengunjungi Bazar Siberturahim Fashion Fest yang berlangsung bermula 2 hingga 10 Mac 2024 di KLGCC.

 

 

Antara jenama tempatan yang dipamerkan di Bazar Siberturahim Fashion Fest 2024 ialah Ezuwan Ismail, Radzuan Radziwill, Pink Jambu, 3TheLabel, Tom Abang Saufi, Salikin Sidek, She Dazzle, Sri Candy, batikTEKTURA, Mode/MirolJonit, ZuuSaha dan My Pride. 

 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Bazar Siberturahim Fashion 2024 di https://www.cimb.com.my/en/personal/promotions/latest-promotions/bazar siberturahim-2024.html. - DagangNews.com