KUALA LUMPUR 29 Mei - Cloudpoint Technology Berhad membuat penampilan sulung yang cukup cemerlang di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada 75 sen, premium sebanyak 97% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 38 sen sesaham.
Syarikat itu memperoleh RM40.4 juta daripada IPO untuk membiayai rancangan pengembangannya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Choong Wai Hoon berkata IPO itu adalah tepat pada masanya untuk memanfaatkan trend pasaran yang berkembang, menyelaraskan syarikat dengan prospek pasaran yang besar.
"Perusahaan semakin banyak melabur dalam teknologi baharu untuk meningkatkan ketangkasan dan daya saing perniagaan.
"Ini didorong oleh pelbagai faktor, termasuk penekanan yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan pertahanan siber, lonjakan dalam pengkomputeran awan, dan pemodenan perisian.
"Cloudpoint berbangga dengan rekod prestasi yang kukuh dalam menyampaikan penyelesaian IT kepada pelanggan perusahaan peringkat atasan dan kekal komited untuk melabur dalam kejayaan pelanggan kami dan mencapai hasil perniagaan yang terbaik untuk pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Wai Hoon berkata, dengan perolehan RM40.4 juta yang diperoleh melalui IPO itu, Cloudpoint berada pada kedudukan yang baik untuk mempercepatkan pertumbuhannya, mengembangkan bahagian pasarannya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi IT yang dipercayai dalam industri.
Keuntungan bersih syarikat meningkat tiga kali ganda kepada RM3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23), berbanding RM900,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Beliau menzahirkan keterujaannya untuk masa depan kumpulan itu.
"Disokong oleh pasukan yang berdedikasi, keyakinan pihak berkepentingan, dan prospek yang dibentangkan oleh landskap teknologi yang sentiasa berkembang, kami bersedia untuk pencapaian yang lebih hebat.
"Kami akan terus berinovasi, cemerlang dan mencipta nilai untuk semua," katanya. - DagangNews.com