Co-opbank Pertama catat untung RM30 juta pada suku pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama catat untung RM30 juta pada suku pertama 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Co-opbank Pertama (CBP) mencatatkan keuntungan sebanyak RM30 juta pada suku pertama 2024 disokong peningkatan penggunaan platform perbankan digital, HeloCBP yang dilancarkan baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, CBP merekodkan prestasi memberangsangkan bagi tiga bulan pertama tahun ini dengan mengumpulkan jumlah aset mencecah hampir RM11.5 bilion.

 

Katanya, pada masa yang sama, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) masih di bawah paras industri iaitu 1.6% dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

 

“HeloCBP ini memudahkan pelanggan melakukan urus niaga perbankan dalam talian tanpa perlu ke kaunter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sementara itu, CBP juga merancang untuk melancarkan produk-produk baharu  seperti Ar Rahnu Flexi, perniagaan kiriman wang dan perkhidmatan sewa beli selain pembiayaan peribadi kepada segmen-segmen baharu seperti kakitangan swasta.

 

bank
Abdul Hamid Osman (kanan) membawa pulang hadiah utama berupa Proton S70 bersempena penganjuran kempen Hello CBP 2024 semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 23 April 2024.

 

Terdahulu, CBP turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada 10 pemenang bersempena kempen Hello CBP 2024 semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri CBP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. 

 

Abdul Hamid Osman membawa pulang hadiah utama berupa sebuah Proton S70 manakala Abu Bakar Yahaya dan Adi Norazwan Misuan masing-masing membawa pulang mostosikal Suzuki Gixxer 250.  

 

Selain itu, CBP turut menyampaikan hadiah-hadiah lain seperti pakej umrah dan pelbagai hadiah barangan elektrik lain yang bernilai keseluruhannya kira-kira RM300,000.

 

Cabutan bertuah itu dilakukan setiap suku tahun dan bertujuan untuk menghargai pelanggan sedia ada sambil mendapatkan pelanggan baharu melanggan produk mereka. - DagangNews.com