Costa Serena jadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama | DagangNews Skip to main content

Costa Serena jadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama

COSTA CRUISE, yang sinonim dengan pelayaran mewah Eropah; dan Hwajing Travel & Tours (Hwajing), pengendali pelancongan pelayaran terkemuka di Asia Tenggara, menjalinkan kerjasama bersejarah untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa pertamanya di Malaysia.

 

Kedudukan geografi Malaysia yang strategik dan kepentingan sejarah di Selat Melaka sejak berabad lalu menjadikannya sebuah destinasi pelabuhan ideal, yang menawarkan pusat pelepasan unik untuk pengembara domestik dan antarabangsa.

 

Inisiatif perintis yang mewakili satu usaha penting ini, bakal mempamerkan keunggulan Malaysia dalam industri pelayaran global.

 

Pada masa sama, inisiatif terbabit dapat memenuhi keperluan khusus pasaran Islamik. Keunggulan Costa Serena akan menakrifkan semula aspek pelayaran mewah, sekali gus menandakan lonjakan ketara Malaysia dalam industri pelayaran global.

 

Costa Serena memiliki reputasi unggul sebagai kapal utama Costa Cruises yang ‘berkhidmat’ dengan teguh sejak 2007.

 

Bahagian dalaman kapal persiaran yang mengagumkan itu memancarkan daya tarikan kemegahan bandar Rom, mengubah setiap pelayaran menjadi pengembaraan yang tidak dapat dilupakan dan mampu menyaingi pelayaran paling popular Caribbean dan Mediterranean.


 

costa

 

costa


 

Dari nautika terapung yang dihormati hinggalah mitologi Rom purba, Costa Serena dilihat telah mempamerkan gabungan unik yang lancar antara kemewahan Eropah dengan kecanggihan Itali.

 

MENETAPKAN PELAYARAN

Costa Cruises, jenama pelayaran terbesar Eropah yang kaya dengan sejarah sejak 75 tahun lalu, telah memasuki pasaran Asia lebih 15 tahun lepas.

 

Terkenal dengan slogan "Belayar Gaya Itali", jenama yang memberi perhatian terperinci dalam segenap aspek telah memahat penceritaan unik dan pengalaman berharga di lautan.

 

Hwajing juga telah memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan pelayaran ASEAN sejak 1989.

 

Kerjasama dengan Costa Cruises ini menandakan lembaran baharu dalam perjalanan syarikat. Keputusan strategik untuk membawa Costa Serena ‘berlabuh’ di Pelabuhan Klang adalah sejajar dengan komitmen Hwajing untuk meneroka pasaran baharu dan menawarkan penumpang pengalaman perjalanan yang tiada tandingan.

 

Walaupun pelabuhan Malaysia bukanlah pilihan semula jadi untuk pelayaran mewah antarabangsa, namun gangguan yang disebabkan oleh pandemik baru-baru ini telah membuka peluang kepada pelabuhan yang memiliki infrastruktur tersedia seperti Pelabuhan Klang untuk mengisi tuntutan dalam industri selepas kembalinya persekitaran yang normal.

 

Melihat Jalur Gemilang (bendera Malaysia) berkibar tinggi di samping bendera Hwajing semasa acara untuk meraikan pencapaian bersejarah ini, ia seperti mempamerkan semangat patriotisme yang jelas untuk memberi penghormatan kepada negara, selain pengiktirafan kepada salah satu pelabuhan kontena paling sibuk di dunia.

 

"Walaupun ketika pandemik, kami mengekalkan hubungan kerja yang erat dengan Costa Cruises," kata Kenny Cheong, Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours. "Pada 2020, apabila China menutup pelabuhan-pelabuhannya, kami sentiasa berinteraksi dengan harapan Costa Serena dapat berlabuh di Malaysia. Namun, pada ketika itu, ia tidak menjadi kenyataan.

 

“Justeru, sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula, kami segera membawanya ke sini untuk percubaan. Pilihan strategik Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama Costa Serena memberi penekanan ke atas kemunculan Malaysia sebagai hab maritim, dan kesediaan untuk memenuhi ketibaan pelanggan antarabangsa yang pelbagai."


 

costa

 


MEMENUHI KEPERLUAN PASARAN ISLAMIK

Bergabung menerusi visi bersama, Costa Cruises dan Hwajing memulakan perjalanan untuk menerokai potensi besar pasaran pelancongan Islamik yang belum diterokai.

 

Kedua-dua syarikat telah melaksanakan penyesuaian menyeluruh terhadap perkhidmatan dan tawarannya untuk memenuhi keperluan dan keutamaan khusus pengembara Islam. Ia adalah untuk memastikan pengalaman yang unik, mendalam dan inklusif untuk semua penumpang.

 

Hasilnya, pengalaman pelayaran yang disesuaikan ini telah menggabungkan unsur-unsur riadah, amal, dan Halalan Toyyiban ke dalam ‘fabrik’ pelayaran.

 

Diuruskan oleh Intratama Travel Consultant & Tours, penumpang turut diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kuliah dan bengkel Islamik, sekali gus meningkatkan pengalaman pelayaran keseluruhan mereka merangkumi aspek hubungan budaya dan rohani dengan lebih mendalam.

 

Pada masa yang sama, terdapat juga peluang unik untuk memupuk pertukaran budaya dengan pilihan makanan dan minuman yang pelbagai.

 

Tawaran kulinari yang menakjubkan, yang menampilkan 40% hidangan Asia, seterusnya menjanjikan gabungan perisa yang menarik, termasuk menu sorotan seperti stik Tomahawk, gelato durian Musang King dan masakan serta pencuci mulut yang menarik.

 

LONJAKAN EKONOMI

Inisiatif perintis ini adalah kerjasama antara Costa Cruises dan Hwajing, yang menyediakan potensi manfaat ekonomi jangka panjang dan faedah berkekalan kepada negara, bergantung kepada kejayaan dan kesinambungan perkongsian ini.

 

Pengenalan Costa Serena di Pelabuhan Klang menjangkaui rangsangan kepada sektor pelancongan; ia bertindak sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.


 

costa

 


Sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa sulung, ia akan memberi kesan limpahan, merancakkan ekonomi Malaysia dan membuka peluang yang merentasi pelbagai sektor.

 

Lonjakan ini tidak terhad kepada peningkatan peluang pekerjaan bagi mereka yang terlibat secara langsung dengan Costa Serena, termasuk kru dan kakitangan penyelenggaraan; ia berfungsi sebagai pemangkin untuk pemulihan ekonomi yang berterusan dan menyeluruh.

 

Sektor sokongan, termasuk penginapan, makanan, pengangkutan dan peruncitan, bersedia untuk meraih faedah dan ganjaran daripada kebangkitan sektor pelancongan.

 

Usaha sama ini menjadi inisiatif strategik jangka panjang yang dijangka menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara secara keseluruhan, sesuatu membanggakan untuk semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam proses tersebut.

 

Menerusi Persijilan Halal yang dimiliki Costa Serena, ia membantu menjadikan Malaysia sebagai mercu tanda untuk pengalaman pelayaran yang sensitif terhadap budaya dan keselesaan.

 

Ini tidak hanya memenuhi keperluan lebih 40% penduduk Islam di Asia Tenggara, malahan juga menandakan lonjakan strategik, meletakkan Malaysia sebagai hab global untuk pengalaman perjalanan yang inklusif.

 

Dengan Pelabuhan Klang menjadi satu hab baharu, ia membuka lebih banyak peluang kepada pelancong untuk menerokai kepelbagaian budaya Malaysia, seni bina yang unik dan masakan yang lazat, sama ada melalui lawatan ke Bandaraya Diraja Klang, kuil-kuil Batu Caves yang meriah atau makanan jalanan Kuala Lumpur.

 

Ini bakal meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penciptaan pekerjaan dalam industri pelayaran dan membuka peluang untuk sektor sokongan seperti penginapan, makanan, pengangkutan dan peruncitan.


 

costa

 


Dengan Costa Serena menetapkan pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama di Malaysia, ia menjadi pencetus perubahan yang mengangkat negara menjadi destinasi pelayaran antarabangsa utama.

 

Pengiktirafan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa membuka ruang untuk usaha sama dengan pelabuhan serantau yang lain, sekali gus meletakkan keperluan untuk rangkaian jadual perjalanan pelayaran yang pelbagai,” katanya.

 

MENJANGKAUI SEBUAH KAPAL

Dengan kepanjangan sebanyak 290m dan berat sekitar 115,000 tan, Costa Serena disifatkan sebagai satu keunggulan kejuruteraan.

 

Dengan memiliki kapasiti untuk menampung sehingga 3,780 tetamu, kapal ini menjanjikan pengalaman pelayaran privasi lagi mewah bersamaan 15 kapal terbang yang berlepas dalam satu masa yang sama.

 

Dengan purata dua perjalanan seminggu, ia mampu merekodkan aliran penumpang tahunan sehingga 600,000 setahun.


 

costa

 


Menerusi pelayaran sulungnya, tetamu yang menaiki Costa Serena bakal menikmati perjalanan 3 hari, 2 malam yang menyeronokkan dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pinang, menandakan bermulanya percutian impian pelayaran domestik.

 

Ketika Costa Cruises dan Hwajing memulakan perjalanan menarik ini, ia membuat jemputan terbuka kepada pengembara untuk mengambil bahagian bagi meneroka landskap lautan Malaysia menarik, termasuk lawatan pantai yang pelbagai yang ditawarkan di Malaysia. - DagangNews.com