Country Garden Pacific View, UPM bekerjasama pulihara ekosistem rumput laut di Beting Merambong | DagangNews Skip to main content

Country Garden Pacific View, UPM bekerjasama pulihara ekosistem rumput laut di Beting Merambong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Country Garden Pacific View Sdn. Bhd. (CGPV), pemaju Forest City bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memulihara ekosistem rumput laut di Beting Merambong.

 

Beting Merambong seluas 26.3 hektar itu merupakan kawasan tumbuhan rumput laut terbesar di Semenanjung Malaysia dan ia akan muncul di permukaan apabila keadaan air laut surut.

 

Projek itu diseliakan oleh Pensyarah Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Muta Harah Zakaria berkata dan dibantu oleh Dr. Japar Sidik Bujang dan Dr. Nur Leena Wong Wai Sin. 

 

Beliau berkata, selain menempatkan kawasan pertumbuhan rumput laut, Beting Merambong itu juga merupakan habitat kepada lebih 100 flora dan fauna.

 

"Terdapat 17 spesies rumput laut berada di perairan Malaysia dan di Beting Merambong, 12 daripadanya hidup dengan subur di sini.

 

beting

 

"Spesies rumput laut yang ada di sini adalah Enhalus acoroides, Thalassia hemprichii, Halophila major, Halophila minor, Halophila ovalis, Halophila spinulosa, Halophila decipiens, Halophila beccarii, Halophila nipponica, Halodule pinifolia, Halodule uninervis dan Cymodocea serrulata," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, antara hidupan marin yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat termasuklah dugong, pelbagai jenis hidupan cangkerang, siput, timun laut, kuda laut dan pelbagai spesies ikan.

 

Dalam pada itu, Muta Harah berkata, pihaknya menghargai komitmen ditunjukkan CGPV dalam memulihkan kawasan Beting Merambong itu.

 

"Memang kawasan ini sedikit terjejas pada awalnya, namun dengan kerjasama antara CGPV dan UPM, kami berjaya memulihara kawasan Beting Merambong ini secara berperingkat sejak 2015.

 

"Kerjasama ini masih lagi diteruskan, dan kami yakin kewujudan Beting Merambong akan turut memberi manfaat kepada pembangunan Forest City yang sedang pesat berkembang ketika ini," katanya.- DagangNews.com