Sunway Medical Centre di Bandar Sunway, Kuala Lumpur
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Jun - Dana pelaburan kerajaan Singapura, GIC Pte Ltd., melabur dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia dengan membeli 16 peratus kepentingan milik Sunway Bhd. menerusi Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd sebanyak RM750 juta.
Perkara itu dinyatakan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dalam sidang media khas petang ini.
Perjanjian itu secara tidak langsung meningkatkan nilai Sunway Healthcare mencecah hampir RM4.69 bilion.
Ia dicapai berdasarkan kesediaan pembeli - penjual setelah memperoleh penilaian cadangan daripada pelbagai dana pelaburan di peringkat domestik dan antarabangsa, dana kekayaan berdaulat dan firma ekuiti swasta.
Dengan langkah pengembangan ini, Sunway Healthcare mampu muncul sebagai kumpulan penjagaan kesihatan swasta bersepadu terkemuka dengan memiliki rangkaian hospital dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia dan Singapura.
Ketika ini, Sunway Healthcare mengendalikan dua hospital tertiari dengan gabungan kapasiti melebihi 800 katil dan lebih 400 pakar runding.
Langkah ini dijangka meningkatkan kapasiti sedia ada kepada hampir 3,000 katil dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Sementara itu, pula memiliki rekod cemerlang dalam sektor penjagaan kesihatan di peringkat global dengan pelaburannya di Amerika Syarikat, Australia, Brazil, Filipina, China dan Vietnam.
Baca : Pelaburan GIC bukti keyakinan terhadap ekonomi negara dan Sunway - PM
Mengulas mengenai perjanjian itu, Cheah menyifatkan ia satu pencapaian penting buat Sunway setelah meraih minat yang luar biasa daripada pelabur domestik dan antarabangsa.
Katanya, ia jelas menzahirkan keyakinan terhadap jenama Sunway dan rekod cemerlang dalam segmen penjagaan kesihatan yang semakin berkembang pesat dalam landskap ekonomi Malaysia.
"Setelah membuat penilaian menyeluruh, saya yakin untuk mengumumkan kerjasama ini dengan GIC, pelabur dalam penjagaan kesihatan global yang tidak asing lagi.
"Malah, saya juga yakin kerjasama Sunway - GIC akan meningkatkan nilai Sunway Healthcare dan dapat merealisasikan sepenuhnya poteni perniagaan penjagaan kesihatan," katanya.
Hari ini, Sunway menggantung dagangannya di Bursa Malaysia susulan pengumuman yang akan dibuat syarikat setelah desas-desus berlegar dalam pasaran mengenai penjualan aset penjagaan kesihatannya kepada GIC.
Maybank Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan tunggal kepada Sunway dalam urus niaga ini.
Sunway Healthcare turut menjalankan perniagaan penjagaan kesihatan sampingan iaitu Sunway Specialist Centre Damansara, Sunway Medical Centre Singapore, Sunway Traditional dan Complementary Medicine Centre dan Home Care.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Sunway Healthcare, Lau Beng Long berkata, penyertaan GIC akan menyokong pengembangan hospital sedia adanya dan membina hospital baharu dan perniagaan penjagaan kesihatan sampingan di seluruh negara.
Katanya, pihaknya mahu memanfaatkan dan belajar dari pengetahuan dan pengalaman penjagaan kesihatan serantau GIC untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
Beliau memberitahu, ia juga bercadang untuk menyenaraikan dalam pasaran saham tempatan dalam tempoh enam hingga lapan tahun akan datang.
"Selain dua buah hospital di Bandar Sunway dan Sunway Velocity, Cheras, kami juga mempunyai perancangan untuk membina enam lagi hospital dan pusat penjagaan pesakit luar," tambah beliau. - DagangNews.com