Dasar satu harga untuk beras campur adalah cetek dan berbahaya - Pakar Sekuriti Makanan | DagangNews Skip to main content

Dasar satu harga untuk beras campur adalah cetek dan berbahaya - Pakar Sekuriti Makanan

Oleh Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad

KRISIS beras campur, ketiadaan beras tempatan, cadangan beras MADANI dan terbaru cadangan pengapungan harga beras menampilkan beberapa naratif polisi yang dibuat tanpa perhitungan mendalam.


 

Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad
Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad


 

Naratif ini termasuk:

  1. Menangani simptom dan tidak penyakit sebenar. Iaitu kerajaan menumpu perhatian kepada menangani simptom (beras campur, beras tiada dalam pasaran, harga tinggi) dan tidak kepada penyakit paling besar dalam industri padi dan beras negara, iaitu masalah struktur.
     
  2. Polisi satu harga untuk beras yang dicampur-campur adalah bertentangan dengan dinamik kepelbagaian pasaran dalam pengeluaran dan penggunaan.
     
  3. Tidak menyedari polisi satu harga runcit untuk semua beras akan melengkapkan campur tangan kerajaan ke dalam industri ini ke tahap 100%, memiripi pasaran terkawal sepenuhnya dalam ekonomi berpusat seperti China dan Vietnam dalam tahun 1960an yang hanya menghasilkan kelembapan.
     
  4. Menangani hanya isu harga tanpa mengambil kira perkiraan holistik semua elemen dan peserta dalam ekosistem sektor terutama pesawah.
     
  5. Penetapan harga tidak berlandaskan kepada hujah keperluan harga yang “berpatutan” dan “adil” mengambil kira kepentingan peserta utama industri.
     
  6. Tidak memberi keutamaan pertama kepada pesawah, tunggak sektor beras negara. Hakikat yang tersisir adalah; “Selagi petani tidak mencapai sara diri selagi itu negara tidak akan capai sara diri”.
     
  7. Beras hanya mengambil komponen kecil perbelanjaan isi rumah (0.8%) pada tahun 2022. Walhal syer perbelanjaan ke atas makanan sihat lain seperti ikan, daging sayur and buah adalah lebih tinggi dan turut mengalami kenaikan harga tinggi.
     
  8. Masalah beras campur boleh diselesaikan dengan mudah melalui;
    (a) menggunakan data raya untuk memantau agihan beras peniaga dari semasa ke semasa.
    (b) Applikasi pengesanan (traceability) untuk memantau gred dan kualiti beras supaya gred dipertahankan dan pengguna membayar harga beras yang adil ikut gred dan kualiti.
    (c) Penguatkuasaan ketat ke atas peniaga.

 

Berdasarkan kepada naratif di atas, nyata polisi satu harga untuk beras campur adalah cetek dan berbahaya kerana masalah sistematik sektor ini tidak diambil kira.

 

Lantas, cadangan pengapungan harga tanpa mengambil kira masalah struktur tidak akan memberi impak yang disasarkan.

 

Dari segi konsepnya, pengapungan harga adalah baik kerana harga yang dicapai mencerminkan persetujuan antara pihak pembeli dan penjual berlandaskan intepretasi mereka ke atas dinamik penawaran-permintaan pasaran. Iaitu dalam situasi beras kurang, harga akan meningkat lantas ia akan mendorong pengeluaran dan lama kelamaan kuantiti jualan akan bertambah dan harga akan kembali normal.

 

Perkara sebaliknya berlaku apabila lebihan berlaku. Iaitu harga terbentuk daripada dinamik penawaran dan permintaan dan harga yang tercapai adalah “wajar” mengikut pertimbangan kedua pihak; pengguna dan penjual.

 

Namun, logik ini bermakna jika pasaran padi dan beras adalah bebas daripada ketidakcekapan terutama ciri monopoli dan oligoplistik seperti yang ada sekarang ini.

 

 

bernasi

 

 

Monopoli BERNAS

Pengapungan harga dalam struktur pasaran dimana BERNAS memonopoli import dan kerjasama BERNAS dan pengilang menguasai hampir 70% pasaran beras tempatan, tidak akan mewujudkan harga yang boleh dianggap “adil”.

 

Ini kerana melalui persengkokolan dan pakatan, mereka boleh mengherotkan atau manipulasi harga runcit untuk memaksimumkan keuntungan tanpa tentangan daripada pengguna dan pesawah.

 

Mereka miliki kuasa untuk terus memperkudakan pesawah dengan membeli harga padi yang rendah atau mengenakan potongan padi yang tinggi. Masalah asimetri kuasa ini perlu ditangani.

 

Bererti jika harga mahu diapungkan, penambahbaikan struktur adalah kemestian untuk mencapai impak yang bermakna untuk semua pihak.

 

Ini memerlukan perubahan berikut:

  1. import dibuka kepada ramai peserta supaya lebih bersaing dan harga import lebih murah daripada pelbagai sumber.
     
  2. kilang kecil dibenarkan beroperasi supaya persaingan wujud dan mobiliti pesawah terbuka untuk peningkatan pendapatan mereka.
     
  3. Perlesenan dihapuskan dan digantikan dengan pemantauan ketat ke atas kuantiti dan kualiti melalui pangkalan data raya serta aplikasi digital pengesan atau tracebility beras dan padi.

 

Jika harga diapungkan, perlu ambil kira sektor padi dan beras secara holistik iaitu sebagai satu sistem. Dalam satu sistem terdapat elemen yang saling berkaitan dan bergantungan.

 

Jika harga runcit diubah, impaknya akan terkesan kepada sub-sektor lain seperti harga kepada pengguna, untung pengilang, pendapatan petani dan lain-lain.

 

Perhatikan jika pendapatan petani menurun,mereka akan lari keluar dari sektor padi dan akan menjejaskan pengeluaran beras.

 

Kini purata pendapatan bersih pesawah adalah terlalu rendah antara RM500-RM600/ha sebulan.

 

 

bernas

 

 

Dikala harga runcit diapungkan, ia bererti harga akan ikut rentak pasaran dunia.

 

Maka strategi perlu difikirkan untuk memastikan petani menerima faedah daripada kenaikan harga dan dibantu apabila harga turun.

 

Apabila harga menjunam, langkah penstabilan pendapatan petani termasuk:

(i) meningkatkan subsidi harga padi. Mekanisme bukan harga termasuk;

(ii) tingkatkan dan stabilkan pengeluaran;

(iii) mengawal import dan eksport;

(iv) menggalakkan industri berasaskan padi dan beras;

(v) stok penimbal dan

(vi) bayaran defisit kepada petani.

 

Pengapungan harga beras adalah strategi yang baik tetapi ia perlu dilaksanakan BERSAMA dengan sokongan kepada pesawah.

 

Ini termasuk untuk:

(i) meningkatkan hasil padi

(ii) mengurangkan kos pengeluaran

(iii) mengenal pasti mekanisme melindung petani apabila terjejas pada para harga beras yang rendah

(iv) penggunaan aplikasi digital yang meluas untuk persawahan, pemasaran dan perniagaan

(v) Era sekarang tidak perlu kilang besar-besaran lagi – tetapi kilang sederhana dan kecil yang PINTAR/SMART.

 

Galakkan pesawah menjual beras untuk mereka tingkatkan pendapatan dan kreativiti mereka yang telah lama tertekan.

 

Reformasi pasaran di tahap sawah perlu dilaksanakan seperti meningkat persaingan dalam beberapa sektor.

 

Ini termasuk:

(i) agihan baja dibuka kepada koperasi, PPK dan usahawan

(ii) petani padi yang berpengalaman dibenarkan menjadi pembekal benih

(iii) Menubuhkan skim “Satu kampung/koperasi satu bank benih”.

 

Semua ini diperlukan untuk memastikan keserentakan bekalan air, benih dan baja. Sebelum ini keserentakan ini tidak dicapai kerana masalah kelewatan sama ada baja, air dan benih.

 

Pastikan kategori beras ikut pelbagai gred dipelihara kerana terdapat pelbagai pengguna miskin dan kaya, muda dan tua dan pelbagai bangsa dan lain-lain.

 

Masing-masing memiliki cita rasa yang berbeza. Pengguna miskin boleh membeli gred beras yang berharga rendah dan pengguna berpendapatan tinggi mampu untuk membeli beras import.

 

Pada masa yang sama Malaysia adalah kaya dengan pelbagai varieti beras terutama di Sabah dan Sarawak. Maka mengehadkan kepada satu gred sahaja akan mematikan aset utama negara ini.

 

 

bario

 

 

Jika berlaku kenaikan harga beras ia tidak akan menjejaskan kebanyakan pengguna dengan ketara kerana beras mengambil sebanyak 0.8% daripada perbelanjaan isi rumah ke atas makanan pada tahun 2022 (DOSM, 2024).

 

Manakala roti mengambil 1.4%, ikan (3.8%), daging (2.4%) dan peberlanjaan makan di luar rumah (12.9%).

 

Purata perbelanjaan adalah RM36 bagi isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM5,000/bulan.

 

Yang akan memberi kesan ke atas pengguna adalah harga makanan berkhasiat seperti daging ayam, telor, susu, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan yang kini meningkat naik.

 

Harga makanan penting ini perlu turut dipantau untuk menjamin sekuriti nutrisi dalam kalangan kanak-kanak. Perhatikan seorang daripada empat kanak-kanak di Malaysia adalah bantut dan masalah diabetes di Malaysia adalah yang paling tertinggi di dunia.

 

Kesimpulannya, masalah padi dan beras adalah masalah sistemik yang telah telah bertapak selama 50 tahun.

 

Polisi yang hanya merubah satu aspek sahaja seperti harga, tidak akan membawa impak terjangka selagi masalah struktur tidak dileraikan, terutama struktur yang memangsakan pemain utama sektor ini sekian lama iaitu pesawah. - DagangNews.com

 

 

Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad adalah Felo Perunding, Institut Perladangan Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia