Datuk Akbar Moidunny dilantik sebagai Presiden MAICSA baharu menggantikan Simon Yeoh | DagangNews Skip to main content

Datuk Akbar Moidunny dilantik sebagai Presiden MAICSA baharu menggantikan Simon Yeoh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Datuk Akbar Moidunny dilantik sebagai Presiden Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) yang baharu bagi penggal 2024 menggantikan Simon Yeoh.

 

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif MAICSA, Justin J Anthony berkata, pelantikan itu dibuat pada mesyuarat majlis tertinggi institut itu yang diadakan semalam dan pada masa sama, beliau mengesahkan pelantikan Dipak Kaur sebagai Timbalan Presiden dan Dr. Nandita Choudhury sebagai Naib Presiden.

 

Semasa mesyuarat majlis tertinggi tersebut, Akbar menekankan komitmen MAICSA dalam memacu peranan setiausaha bertauliah dan profesional tadbir urus. 

 

"Pelan tindakan beliau termasuk memimpin MAICSA ke hadapan dengan meningkatkan pembangunan profesional dan pendidikan, menggalakkan tadbir urus yang baik dan amalan beretika, mengukuhkan penglibatan dan sokongan ahli, meluaskan pengaruh dan sokongan MAICSA, memanfaatkan teknologi untuk inovasi, dan memupuk budaya keterangkuman dan kepelbagaian," katanya.

 

Akbar merupakan Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat MINC, Malaysia sejak 1986, beliau telah mengetuai syarikat itu dalam menyediakan perkhidmatan perundingan setiausaha korporat dan tadbir urus kepada lebih 1,000 syarikat. 

 

Dengan pengalaman lebih 37 tahun beliau terlibat dalam pelbagai aspek kesetiausahaan, termasuk perundingan, penstrukturan semula dan usaha wajar untuk syarikat-syarikat multinasional dan tempatan. 

 

Beliau juga merupakan ahli Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan Jawatankuasa Tatatertib Majlis Peguam Malaysia.

 

Pada masa sama, Prof Madya Noorbijan Abu Bakar dilantik Setiausaha Kehormat manakala Lee Mi Ryoung diumukan sebagai Bendahari Kehormat dan Simon Yeoh sebagai Presiden Terdahulu (Immediate Past President) serta Datuk Suseela Menon sebagai Presiden Lalu (Past President). 

 

"Pada masa sama, Suseela dipilih sebagai wakil MAICSA ke Chartered Governance Institute (CGI) United Kingdom (UK). 

 

"Ahli majlis-majlis yang lain ialah Samantha Tai dan Ivy Chin. Selain itu, MAICSA mengalu-alukan kedatangan ahli majlis baharu iaitu Dr Mazlan Ahmad, Maheswari Kanniah dan Intan Nabilaa Idrus," katanya. - DagangNews.com