Dayang terima lanjutan kontrak 3 tongkang AWB daripada Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

Dayang terima lanjutan kontrak 3 tongkang AWB daripada Petronas Carigali

Kontrak tongkang kerja penginapan (AWB) Dayang Pertama dilanjutkan selama 296 hari bermula 10 Oktober 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Dayang Enterprise Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, DESB Marine Services Sdn Bhd telah menerima lanjutan kontrak untuk penyediaan tiga unit tongkang kerja penginapan (AWB) daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia hari ini, lanjutan kontrak yang diterima pada 6 Oktober 2023 itu melibatkan Dayang Zamrud, Dayang Pertama dan Dayang Berlian.

 

Kumpulan itu berkata lanjutan kontrak Dayang Zamrud adalah bagi tempoh 279 hari bermula 27 Oktober 2023, manakala Dayang Pertama selama 296 hari bermula 10 Oktober 2023.

 

Lanjutan kontrak Dayang Berlian pula adalah untuk tempoh 281 hari bermulai 25 Oktober 2023.

 

Kumpulan itu berkata, faktor risiko yang mempengaruhi lanjutan kontrak adalah termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan, perubahan harga bahan serta perubahan keadaan politik, ekonomi dan peraturan.

 

Ia menambah bahawa DESB Marine perlu memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan kontrak.

 

“Lanjutan kontrak tidak akan memberi kesan ke atas modal terbitan syarikat dan dijangka menyumbang kepada pendapatan DEHB sepanjang tempoh lanjutan itu,” katanya.

 

Saham Dayang ditutup tinggi 1 sen atau 0.5% pada RM2.12 hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM2.45 bilion.  - DagangNews.com