DC Healthcare catat kerugian bersih RM2.7 juta bagi 3QFY23 kesan perbelanjaan pentadbiran dan penyenaraian IPO | DagangNews Skip to main content

DC Healthcare catat kerugian bersih RM2.7 juta bagi 3QFY23 kesan perbelanjaan pentadbiran dan penyenaraian IPO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - DC Healthcare Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding untung bersih RM4 juta yang dicatatkan pada suku kedua berakhir 30 Jun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerugian yang dicatatkan pada suku berkenaan sebahagian besarnya dikaitkan dengan perbelanjaan pentadbiran termasuk perbelanjaan penyenaraian serta yuran rundingan berhubung pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM3.85 juta.

 

Bagi suku tersebut, DC Healthcare mencatatkan hasil sebanyak RM15.52 juta dengan sebahagian besarnya diperoleh daripada perkhidmatan estetik yang menyumbang kira-kira 84.28% daripada jumlah hasil.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM50.22 juta.

 

"Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5.32 juta dalam tempoh kewangan sehingga kini dalam tinjauan selepas ditolak perbelanjaan yang sebahagian besarnya dikaitkan dengan perbelanjaan pentadbiran kira-kira RM15.9 juta.

 

"Bagaimanapun, kumpulan akan terus melaksanakan langkah kawalan kos bagi melindungi margin keuntungan dan kekal berdaya saing selain memberi fokus kepada pengembangan cawangan tahun ini bagi mengukuhkan kedudukan dalam industri perubatan estetik," katanya.

 

BACA JUGA: DC Healthcare ambil alih semua kepentingan dalam pengendali klinik estetik I Bella berharga RM70 juta

 

Mengulas mengeni prospek, DC Healthcare berkata, mereka akan terus fokus kepada perniagaan teras iaitu dalam mengembangkan pasaran perubatan estetik dengan menggunakan beberapa pendekatan termasuk mengembangkan cawangan klik baharu ke wilayah utara dan selatan.

 

Selain itu, mereka juga berhasrat mengukuhkan kehadiran doktor perubatan, perunding klinik dan kakitangan sokongan lain dengan mendapatkan kakitangan yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman.

 

"Kumpulan kami juga akan terus meningkatkan penggunaan teknologi perubatan terkini bagi meningkatkan penawaran perkhidmatan selain menyokong rancangan pengembangan selain mempelbagaikan pangkalan pelanggan dalam usaha mengukuhkan kehadiran pasaran kami," katanya. - DagangNews.com