Didik masyarakat budaya membaca ‘lengkap’ sejak dari muda | DagangNews Skip to main content

Didik masyarakat budaya membaca ‘lengkap’ sejak dari muda

Oleh Dr. Zuraimy Ali

MEMBACA merupakan amalan mulia yang sangat dianjurkan oleh Islam.

 

Bahkan wahyu yang mula turun kepada junjungan Nabi Muhammad SAW memerintahkan supaya membaca sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran yang bermaksud “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (Surah Al-'Alaq, ayat 1-5).

 

Suruhan untuk ‘membaca’ diulang sebanyak dua kali di dalam Surah Al-‘Alaq jelas mempunyai maksud yang tersirat dengan pelbagai hikmah dan menuntut hamba-Nya dan umat Nabi Muhammad SAW membaca secara lengkap dan menyeluruh.

 

 

Dr. Zuraimy Ali
    Dr. Zuraimy Ali

 

 

Segelintir umat Islam pada marcapada dilihat lesu dan kurang berminat untuk membaca dan mengulangi pembacaan agar mendapat kefahaman yang lengkap.

 

Sesetengahnya hanya sekadar membaca apa yang ditulis tetapi tidak memahami apa yang dibaca menjadikan umat Islam semakin mundur dan kurang memanfaatkan fungsi akal anugerah Allah yang terindah buat manusia.

 

Haruman ilmu perlu dimulai dengan kaedah pembacaan yang lengkap dan menyeluruh barulah umat akan sentiasa peka dan mampu mencerakinkan hikmah kebijaksanaan pada tempatnya. Segelintir pihak hanya memahami teks separuh masak ataupun gagal melengkapkan pembacaan yang lengkap dan akhirnya generasi kini dilihat tidak mampu menghadam teks bacaan pada konteks yang tepat.

 

Generasi muda perlu diajar agar jujur dan tidak mudah tertipu dengan bacaan ‘picisan’ dan ‘hiburan’ yang tidak memberikan keuntungan terhadap hasil pencapaian akademik mahupun bidang lain.

 

Penguasaan ilmu perlu dimantapkan melalui kaedah pembacaan yang mampu memberikan kesan signifikan terhadap pemikiran dan tindakan yang betul. Mengambil contoh bagaimana mengira dengan pengiraan yang betul memerlukan pengarahan yang jelas melalui pembacaan yang teliti.

 

 

parafrasa

 

 

Hasilnya keputusan yang dicatat adalah tepat ketimbang keputusan yang salah akibat tidak memahami kehendak soalan disebabkan kelemahan pembacaan yang rapuh dan separuh masak. Hal ini sudah tentu akan menjadi pertikaian terhadap kelemahan cara dan kaedah pembacaan yang kurang diberikan perhatian sehingga menjadikan umat sentiasa gopoh dalam membuat pertimbangan.

 

Bagi mengenal pasti punca terhadap kelompongan yang berlaku sudah tentu Islam menganjurkan pembacaan dilakukan dengan cermat dan teliti.

 

Matlamat yang ingin dicapai bukanlah sejauh mana seseorang itu mampu membaca dengan pantas dan berapa banyak buku yang dibaca dalam sejam tetapi yang lebih penting bagaimana generasi muda dapat menjadikan ‘pembacaan’ itu masa yang mengesan terhadap perkembangan otak dan seterusnya mampu mengaplikasikan pembacaan secara berkesan.

 

Selain kaedah pembacaan yang lengkap, Islam juga menuntut umat agar sentiasa berfikir dan memahami isi kandungan bacaan agar ianya mampu meneroka alam pemikiran ilmu yang luas seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim terkait gagasan menggapai langit dengan penerokaan sains teknologi tetapi berakar ke bumi dengan nilai dan adab mulia.

 

Gagasan yang dikemukakan oleh Anwar Ibrahim adalah selari dengan maksud dari ayat al-Quran yang berbunyi “Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan). Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan daripada tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan padanya pasangan, dua-dua. Dia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir” (Surah ar-Ra’d, ayat 2-3).

 

Akhir kalam, bagi membangkitkan rasa cinta mendalam terhadap ilmu maka sudah tentu umat perlu ke hadapan meneroka khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW bagi mengangkat ‘karamah insaniah’ yang berakar pada tradisi ilmu yang sahih.

 

Sayugia kesemua itu memerlukan umat Islam bermula dengan ‘membaca’ kerana membaca itu adalah nadi urat ilmu yang akan merungkaikan segala pertikaian dan menyelamatkan manusia daripada api neraka jahanam.

 

 

parafrasa

 

 

Malaysia Madani memerlukan anjakan paradigma terhadap kaedah pembacaan yang lebih berkualiti dan sudah tentu murabbi ummah marcapada perlu menyesuaikan diri dengan ‘pedagogi’ yang betul bagi menggalakkan pelajar rajin membaca.

 

Membaca landasan ilmu untuk membina karamah insaniah. - DagangNews.com

 

 

Dr. Zuraimy Ali adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis