Dikenakan WRO, SDP berdepan kredit negatif - Moody's | DagangNews Skip to main content

Dikenakan WRO, SDP berdepan kredit negatif - Moody's

 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Moody's Investors Service melihat Sime Darby Plantation Bhd. (SDP) bakal berdepan dengan kredit negatif, susulan sekatan yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

 

"Walaupun risiko langsung terhadap profil kredit ini belum diukur tetapi, kami akan terus memantau perkembangan tuduhan ini dan kesan terhadap profil kredit SDP," katanya dalam kenyataan.

 

CBP mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) terhadap SDP ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa. 

 

WRO itu dikenakan ke atas minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit dihasilkan syrikat itu dan anak-anak syarikatnya, usaha sama dan entiti gabungannya. 

 

Situasi ini, menurut Moody's, boleh menjejaskan hubungan SDP dengan pelanggan dan pihak berkepentingan lain serta mengalami kerugian pendapatan yang lebih besar, jika ada, boleh melemahkan profil kreditnya. 

 

"Walaupun SDP menyatakan belum menerima sebarang butiran lanjut mengenai dakwaan itu, tetapi kami menjangkakan SDP akan berhubung dengan CBP dan pelbagai peringkat pihak berkepentingan bagi menyelesaikan tuduhan itu. 

 

"Malah, SDP juga akan melaksanakan apa jua langkah yang diperlukan bagi melindungi hak pekerja," katanya.

 

Agensi penarafan itu menyifatkan dasar dan proses buruh yang teguh, seperti mengekalkan kredit profil adalah penting bagi syarikat perladangan minyak sawit. 

 

"Ini kerana pihak berkepentingan semakin teliti termasuk pelanggan dan pelabur, berhubung isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang berkait dengan pengeluaran minyak sawit," katanya. 

 

Dalam usaha memperkukuh kelestarian dasar dan menangani isu ini, SDP berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk dasar tiada penebangan hutan, pembangunan tanah gambut dan eksploitasi buruh menerusi Piagam Pertanian Bertanggungjawab dan Hak Asasi Manusia.

 

Moody's juga menyedari SDP telah melantik organisasi bebas bukan kerajaan antarabangsa khusus untuk hak pekerja migran dan menambahbaik proses pengambilan pekerja. 

 

Selain itu, firma audit PriceWaterhouseCoopers juga dilantik bagi meningkatkan saluran komunikasi bagi menangani kebimbangan dalam persekitaran operasi di Malaysia. - DagangNews.com