Duopharma dijangka raih impak positif - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Duopharma dijangka raih impak positif - CGS CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Saham Pharmaniaga Bhd. dan Duopharma Biotech Bhd. (DBB) melonjak dalam dagangan awal selepas syarikat itu menandatangani perjanjian dengan kerajaan bagi membekalkan vaksin COVID-19. 

 

Pharmaniaga, naik 3.01% atau 15 sen kepada RM5.13 manakala DBB menokok 6 sen kepada RM3.76.  

 

Semalam, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pharmaniaga berkata, unitnya iaitu Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLS) dijangka membekalkan 12 juta dos vaksin COVID-19 yang dimajukan oleh SINOVAC Life Sciences Co Ltd dari China kepada Kementerian Kesihatan menjelang April tahun ini.

 

Sementara itu, DBB menerusi anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sdn. Bhd. (DMSB) mengesahkan akan memperoleh dan membekalkan vaksin COVID-19 Sputnik V yang dibangunkan Rusia kepada Kementerian Kesihatan. 

 

Duopharma dalam kenyataan memberitahu, DMSB telah menandatangani perjanjian lembaran jangka dengan Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) untuk memperoleh 6.4 juta dos Sputnik V. 

 

Baca : Perjanjian vaksin : Impak pendapatan Pharmaniaga dijangka minimum

 

Menurut Penganalisis CGS-CIMB, Syazwan Aiman Sobri berkata, bagaimanapun DBB tidak mendedahkan terma komersial dan mekanisme harga bagi kedua-duanya RDIF dan kerajaan. 

 

Tetapi, katanya, ia dijangka menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) sehingga RM8.1 juta  bagi pengedaran dos itu untuk tahun kewangan 2021. 

 

"Ini berdasarkan kepada margis kasar sebanyak 22% dan margin PBT kira-kira 2.5% kepada pengendalian logistik dan perolehan vaksin berkenaan.

 

"Dengan mengambil kira ia tertakluk kepada perubahan dalam beberapa bulan akan datang, kami mengunjurkan jangkaan pendapatan sesaham (EPS) bagi 2021 kepada 9.3%," katanya dalam nota kajian. 

 

Selain perjanjian itu, CGS-CIMB juga berpendapat terdapat kemungkinan DBB akan mengeluarkan vaksin Sputnik V di peringkat tempatan. 

 

Ini berdasarkan kenyataan DBB semalam yang telah menyediakan barisan fill & finish di kilang Duopharma di Klang dan sedia untuk digunakan.

 

"Negara seperti India, Korea Selatan, Brazil dan Kazakhastan sudah memulakan pengeluaran tempatan bagi vaksin ini. 

 

"Bagaimanapun, kami tidak mengambil kira sumbangan pengeluaran tempatan ini dalam unjuran kami," katanya.

 

Semalam, Pengarah Urusan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pelaburan DBB dalam kemudahan fill & finish vaksin dan pengedaran rangkaian sejuk selari dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan vaksin dalam negara dalam jangka panjang selagi gus mengurangkan kebergantungan kepada negara lain. - DagangNews.com