Eastern & Oriental catat peningkatan untung bersih hampir 3 kali ganda kepada RM141 juta pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Eastern & Oriental catat peningkatan untung bersih hampir 3 kali ganda kepada RM141 juta pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - Eastern & Oriental Bhd (E&O) mencatatkan peningkatan untung bersih meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM141.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) berbanding RM51.8 juta disokong hasil yang lebih tinggi daripada segmen hartanah.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi FY24 juga melonjak kepada RM422.8 juta berbanding RM318.1 juta pada FY23.

 

Katanya, segmen hartanah melaporkan peningkatan hasil sebanyak 41% kepada RM312.1 juta untuk FY24. 

 

"Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pengiktirafan hasil progresif daripada projek yang sedang dijalankan, The Meg dan Arica di Pulau Andaman. 

 

"Sementara itu, hasil segmen hospitaliti adalah disebabkan oleh kedua-dua kadar purata bilik dan kadar penghunian yang lebih tinggi pada FY24," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi suku tahun keempat berakhir 31 Mac 2024 (4QFY24) kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih lebih daripada dua kali ganda kepada RM37.7 juta berbanding RM16.8 juta didorong peningkatan hasil sebanyak 86% kepada RM121.3 juta.

 

Mengulas mengenai keputusan itu, Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, keputusan kukuh itu mencerminkan kejayaan jualan beberapa pelancaran projek sebelum ini.  

 

"Kami menjangkakan lebih pihak akan tertarik dengan pembangunan di Pulau Andaman apabila Jambatan Gurney yang menghubungkan Gurney Drive ke pulau itu siap pada tahun depan meningkatkan akses dengan lebih ketara.

 

"Selain kadar pengambilan melebihi 90% bagi kediaman Senna dan Fera sejak Januari 2024, kami akan memperkenalkan projek baharu iaitu sebuah kondominium berkepadatan rendah dengan 261 unit di Pulau Andaman," katanya. - DagangNews.com