ECA Integrated Solution akan terima lebih banyak tempahan peralatan automasi kendiri pada FY23 - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

ECA Integrated Solution akan terima lebih banyak tempahan peralatan automasi kendiri pada FY23 - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan ECA Integrated Solution Berhad menerima lebih banyak tempahan peralatan automasi kendiri daripada pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu pada FY23.

 

Firma itu berkata, perkara itu didorong oleh peningkatan syarikat semikonduktor antarabangsa menempatkan semula kapasiti mereka ke Malaysia memandangkan perselisihan antara China dan Amerika Syarikat (AS) terutama dalam bidang teknologi.

 

"Perselisihan antara kedua kuasa besar itu menyebabkan berlakunya pelbagai sekatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, segmen peralatan automatik kendiri menyumbang sekurang-kurangnya 60% hingga 70% daripada jualan kumpulan berbanding hanya 15% pada FY22.

 

Katanya, margin keuntungan yang lebih tinggi juga dijangka kerana jualan peralatan automatik kendiri yang ditempah khas biasanya lebih tinggi.

 

"Pihak pengurusan juga akan memberi tumpuan yang lebih besar kepada pembangunan mesin pemeriksaan penglihatan memandangkan permintaan yang berkembang pesat daripada industri automotif, manakala segmen sistem pengeluaran bersepadu dijangka menyaksikan pertumbuhan stabil 10% setiap tahun," katanya.

 

Firma itu berkata, setakat ini, satu pesanan belian daripada industri automotif sudah berjaya diraih manakala satu lagi menunjukkan perkembangan positif.

 

"Pengurusan kumpulan juga berkongsi bahawa ia telah berjaya mengautomasikan beberapa proses manual untuk pembekal perkhidmatan pembersihan ketulenan ultra-tinggi yang berpangkalan di AS, yang baru-baru ini telah menubuhkan sebuah kilang di Batu Kawan.

 

"Pelanggan itu mempunyai rancangan untuk mengguna pakai automasi yang serupa di wilayah lain, yang merupakan petanda baik untuk kumpulan," katanya..

 

Firma itu menyemak naik penarafan kumpulan itu kepada 'outperform' berbanding 'neutral' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.12 berbanding 73 sen sebelum ini. - DagangNews.com