Econpile terus catat kerugian pada 1QFY24 kesan kos kewangan lebih tinggi, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Econpile terus catat kerugian pada 1QFY24 kesan kos kewangan lebih tinggi, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - Walaupun mencatatkan hasil yang lebih tinggi namun kos kewangan yang lebih tinggi dan tekanan kos baki daripada projek yang dicagarkan pada tahun sebelumnya menyebabkan Econpile Holdings Berhad terus mencatatkan kerugian pada 1QFY24.

 

AmInvestment Bank Research berkata, bagi suku berkenaan, kerugian bersih kumpulan menyusut kepada RM3.1 juta berbanding RM5 juta pada 1QFY23 disebabkan lonjakan 47% hasil pembinaan daripada RM82 juta kepada RM121 juta terutamanya daripada perkhidmatan cerucuk dan asas untuk projek pembangunan hartanah.

 

Katanya, kerugian bersih 1QFY24 turun dengan ketara sebanyak 86% kepada RM3 juta daripada RM25 juta pada 4QFY23 disebabkan peningkatan 18% dalam pengiktirafan kerja cerucuk dan kos operasi yang lebih rendah.

 

Baki kos daripada projek pembangunan hartanah yang dijamin pada FY23 berada di penghujung kitaran.

 

"Buku pesanan tertunggak Econpile menyusut sebanyak 12% kepada RM416.6 juta pada akhir September 2023 disebabkan oleh kontrak baharu yang lebih rendah yang diperoleh daripada pengebilan kemajuan yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.

 

Baru-baru ini, kumpulan itu memperoleh kerja substruktur bernilai RM43.38 juta daripada Konzepte + Design Architects untuk dan bagi pihak Regal Path Sdn Bhd.

 

Menerusi kontrak itu, Econpile akan menjalankan kerja-kerja substruktur untuk dua blok pangsapuri servis 47 tingkat yang terdiri daripada 453 unit, dengan pembangunan komersil sedia ada terdiri daripada satu blok pusat membeli-belah 5 tingkat dengan dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah, di luar Lebuhraya Bukit Jalil, Bandar Bukit Jalil.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat 27 projek yang sedang berjalan pada pelbagai peringkat penyiapan termasuk kemenangan ketara seperti ICQC @ RTS Link (RM40 juta), Berjaya Residence (RM25 juta), Pusat Perubatan Kota Bahru (RM24 juta) dan Bangsar Hill Development (RM21 juta).

 

Kumpulan itu juga memenangi kontrak RM44 juta di Kemboja pada 1HFY23.

 

"Kumpulan itu dijangka berdepan pelabagai risiko termasuk pemulihan aliran kerja yang lebih lemah daripada jangkaan, hakisan margin keuntungan apabila kos bahan binaan meningkat pengangguhan pelancaran projek mega," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'jual' dengan harga wajar (FV) 12 sen. - DagangNews.com