MEMPUNYAI perancangan kewangan yang baik tidak menjamin kita mengikuti peraturannya. Tambahan pula dengan ekonomi negara yang tidak begitu stabil buat masa ini.
Ada masanya kita merasakan perlu berbelanja untuk memenuhi tuntutan dan kepuasan peribadi. Berbelanja tidak salah namun harus dilakukan dengan penuh cermat dan berdisiplin.
Setiap kali keluar berjalan-jalan di pasar raya pasti mata kita tidak akan terlepas untuk mencuci mata lalu membeli. Bahkan ketika kita duduk sahaja tanpa perlu keluar dari rumah pun, kita akan membeli dengan adanya aplikasi membeli membeli-belah yang terdapat di dalam telefon pintar. Semuanya kini di hujung jari.
Tidak dinafikan memang agak sukar untuk kita mengelakkan diri dari berbelanja walaupun telah membuat perancangan yang teliti.
Mari kita renungkan sama ada anda termasuk di dalam golongan yang sering memberi alasan berikut untuk berbelanja atau tidak. Jika ya, sudah masanya anda perlu bertindak dengan bijak dan atasi masalah boros berbelanja ini.
Berikut beberapa alasan yang sering digunakan dalam berbelanja.
Perasaan berhak
Ada kalanya kita berbisik mengatakan "aku berhak berbelanja untuk diri sendiri setelah penat bekerja" dan akhirnya kita akan berkunjung ke kedai dan membeli barang-barang yang dapat memuaskan hati kita.
Sudah semestinya perasaan seperti 'self-reward' ini sentiasa terdetik di dalam hati semua orang. Namun sebaliknya, jika kerap diamalkan ia bahkan memberi penyesalan kepada kita di masa akan datang kerana bajet yang dikeluarkan telah lebih dari perbelanjaan harian sebenar.
Sedih dan Kecewa
Sesetengah kita berbelanja apabila berasa sedih dan kecewa. Bagi perempuan, Ketika bergaduh dengan kawan-kawan atau teman lelaki kita akan teringin berbelanja. Kononnya bagi mengubat kesedihan dan kekecewaan.
Bayangkan setiap kali anda sedih dan kecewa anda tanpa berfikir panjang boros membeli belah, kepuasan setelah membeli itu memang tak dinafikan sangat memuaskan tetapi jangan terkejut dan bertambah sedih setelah melihat dompet anda kosong selepas itu.
Jika anda mengalami masalah, pastikan anda berkongsi dengan seseorang yang memahami diri anda. Rawati kesedihan dengan aktiviti yang lebih menarik seperti ke pantai ataupun hiking!
Hobi berbelanja
Hobi bertujuan untuk memenuhi masa lapang. Ada sesetengah orang mempunyai hobi berbelanja dan tidak dinafikan salah satunya rakyat Malaysia.
Dengan segalanya kini di hujung jari, aplikasi seperti Shopee, Lazada dan yang terbaru Tiktok Shop menjadikan rakyat berbelanja secara tidak berhemah. Berbelanja tidak salah namun jika tidak di kawal ia akan mendatangkan kerugian kelak.
Membeli pada harga tawaran
Ini juga termasuk di dalam kategori hobi berbelanja. Rakyat kita cukup pantang apabila mendengar perkataan promosi dan tawaran. Seperti Tawaran hebat 12.12 Shopee dan sebagainya.
Pasti mereka akan beratur untuk membeli dan ada yang sanggup menyekang mata demi untuk menunggu waktu promosi yang ditetapkan. Hanya menggunakan hujung jari sahaja, anda akan terleka membeli barangan yang kadang kala bukanlah keperluan malah kehendak nafsu semata.
Masalah penyakit boros ini tak akan hilang dengan sendirinya selagi kita tidak mampu mengawal diri.
Jadi mari kita amalkan beberapa langkah berjimat untuk mengelakkan diri daripada boros berbelanja.
Berbelanja ikut senarai dengan berdisiplin
Jika barang yang hendak di beli itu diperlukan untuk rumah atau diri sendiri pastikan anda berbelanja seperti yang di senaraikan dan bukan membeli barang selain keperluan tersebut seperti barang kemahuan.
Jadi ia akan mengelakkan anda dari berbelanja secara boros atau berlebihan. Jika boleh bawa jumlah yang cukup-cukup untuk barang yang di senaraikan sahaja. Kesannya, anda hanya membeli apa yang perlu sahaja.
Tunggu sekurang-kurangnya sehari sebelum membeli
Selalu kita mendengar istilah bahawa jika kita inginkan sesuatu, tunggu sehingga beberapa hari. Jika kita masih memikirkan untuk membelinya maka teruskan membeli.
Jika sebaliknya maka ia hanyalah nafsu semata. Dalam tempoh begitu sebenarnya ia memberi ruang untuk kita berfikir sama ada barangan tersebut sememangnya diperlukan ataupun tidak.
Masak dan makan di rumah
Makan masakan di rumah dapat menjimatkan sedikit sebanyak perbelanjaan seharian kita. Misalnya lauk basah yang di beli dalam kira kira rm200 dapat jimat selama sebulan.
Berbanding jika seseorang bujang itu misalnya membeli makanan di luar, kos perbelanjaan berkemungkinan lebih dari RM200 itu. Sekiranya bekerja di luar, anda boleh menyediakan bekal dari rumah untuk berjimat
Jangan terpedaya dengan harga tawaran, promosi dan iklan
Seperti yang kita ulaskan di atas, rakyat Malaysia sangat pantang dengan harga tawaran dan promosi yang sering disiarkan di iklan Shopee mahupun Lazada.
Mereka pasti akan beratur dan menunggu masa untuk membelinya. Contohnya jumlah yang ditawarkan adalah 79.90 masyarakat dipengaruhi dengan jumlah yang kelihatan sedikit kerana bawah dari RM80 hakikatnya itu hanyalah helah penjual untuk menarik pembeli untuk membeli.
Elak lihat iklan
Kurangkan dari melihat iklan supaya dapat mengurangkan perasaan ini membeli akan sesuatu secara tiba tiba.
Terutama apabila barang yang dipromosikan itu menawarkan diskaun yang menarik.
Cuba elakkan dan luangkan masa dengan melayari laman web yang tidak berkaitan dengan beli belah atau lakukan aktiviti lain yang tidak melibatkan internet untuk seketika.
Kesimpulannya, penyakit boros ini sememangnya sukar untuk dirawati tambahan lagi jika tibanya waktu 'gaji'.
Sedikit sebanyak diharapkan perkongsian ini dapat membantu warga maya dalam membendung sikap terlalu berbelanja dan boros ini.
Akhir sekali, pastikan kewangan stabil dahulu sebelum ingin membuat keputusan untuk berbelanja, jangan terlalu leka berbelanja lalu dihujung bulannya hanya makan mee segera. Bak kata peribahasa ''kalau boros lekas kerugian”. – DagangNews.com