Empangan stesen janaelektrik Sungai Perak beroperasi dengan baik - TNB | DagangNews Skip to main content

Empangan stesen janaelektrik Sungai Perak beroperasi dengan baik - TNB

Empangan Bersia adalah satu daripada empangan Stesen-Stesen Janaelektrik Sungai Perak yang telah melepaskan air secara terkawal, mengikut prosedur sedia ada bagi mengekalkan paras air empangan yang selamat.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Tiga empangan stesen janaelektrik Sungai Perak yang melibatkan empangan Bersia, Kenering dan Chenderoh beroperasi dengan baik mengikut prosedur.

 

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd., Datuk Nor Azman Mufti berkata, empangan Chenderoh berada dalam keadaan baik, manakala pelepasan air dari empangan tersebut dilakukan pada kadar terkawal bagi mengimbangi kadar kemasukan dan pelepasan air.

 

"Pelepasan air terkawal di stesen hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu perlu dilakukan kerana kenaikan paras berikutan hujan yang berterusan di kawasan tadahan yang luas.

 

"Sehingga hari ini, tiga empangan yang telah melepaskan air secara terkawal adalah Stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak (Empangan Bersia, Kenering, Chenderoh) mengikut prosedur sedia ada bagi memastikan paras selamat dapat dikekalkan disamping mengawal jumlah pelepasan yang bersesuaian," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, terdapat limpahan secara semulajadi di Empangan Kenyir ke Sungai Terengganu, bagaimanapun jumlah limpahan tersebut masih berada di bawah paras kapasiti sungai.

 

Empangan Pergau (Kelantan) dan Temenggor di SJ Sungai Perak masih berada di bawah paras pelepasan air.

 

Selain berperanan menjana elektrik, empangan hidroelektrik TNB juga berfungsi untuk mengawal aliran air yang banyak akibat daripada hujan lebat yang berterusan.

 

TNB bagaimanapun memberi jaminan bahawa kesemua empangan terbabit masih berada dalam keadaan baik dan selamat.

 

Tambah beliau, kerjasama erat antara TNB dan pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan telah dilakukan bagi memastikan proses pelepasan air secara terkawal di beberapa empangan-empangan hidroelektrik dapat dilakukan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) demi keselamatan orang ramai.

 

"Pihak TNB telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan latihan kecemasan di stesen–stesen hidroelektrik dan pejabat operasinya bagi meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan operasi," jelas beliau lagi. - DagangNews.com