Felda bincang terbitan sukuk dengan Kementerian Kewangan | DagangNews Skip to main content

Felda bincang terbitan sukuk dengan Kementerian Kewangan

felda

KUALA LUMPUR 16 Julai - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan berhubung terbitan sukuk jaminan kerajaan bagi penstrukturan semula pinjaman. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mendedahkan penerbitan sukuk kedua bagi Felda selepas terbitan pada 2018 bakal mencatat RM2 bilion sekiranya rundingan itu berjaya.

Kerajaan juga telah menubuhkan pasukan khas yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar untuk mencari kaedah terbaik  bagi mencapai kemampanan kewangan Felda sekali gus memberi manfaat kepada warga peneroka.

Pasukan khas berkenaan dijangka membentangkan laporan itu pada bulan depan. 

“Pasukan ini telah mengadakan sesi libat urus dengan Lembaga Pengarah Felda, Pengurusan Kumpulan Felda, FGV dan pelbagai kumpulan berkepentingan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas berkaitan potensi dan penyelesaian isu berkaitan Felda.,” kata Mustapa kepada Dewan Rakyat hari ini,

Beliau mengulas persoalan perkembangan pelaksanaan kertas putih Felda setakat suku kedua 2020 oleh Datuk Jalaluddin Haji Alias (BN-Jelebu).

Pada 10 April tahun lepas, Dewan Rakyat telah dibentangkan dengan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang Felda. 

Strategi itu termasuklah penambahbaikan tadbir urus  korporat, menangani masalah aliran tunai dan merasionalisasikan pelaburan dan kepentingan.

Dengan itu, sebanyak RM6.23 bilion peruntukan oleh kerajaan bagi merealisasikan strategi itu selain menyelesaikan isu-isu lain yang melibatkan Felda bagi tempoh empat tahun. - DagangNews.com