Fiamma bersama syarikat China, Samyou bina kilang pendingin hawa di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Fiamma bersama syarikat China, Samyou bina kilang pendingin hawa di Malaysia

(Kiri ke Kanan) Pengarah Urusan Fimaco, Chua Ah Boon, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fiamma, Jimmy Tan, Pengasas dan Pengerusi Samyou, Xiao Youyuan, Penolong GM Samyou, Michaelia Zhu dan Pengurus Jualan Samyou, Xu Yuzi.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Fiamma Holdings Berhad memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Zhuhai Samyou Environmental Technology Co Ltd bagi membina kilang pengeluaran pendingin hawa (AC) di Malaysia. 

 

Pembinaan kilang pertama Samyou di luar China itu mencerminkan keyakinan syarikat China yang semakin meningkat dalam perniagaan dan dasar ekonomi pragmatik Malaysia.

 

Dengan pelaburan strategik daripada Xiaomi, Samyou telah membezakan dirinya sebagai salah satu pemain utama dalam industri HVAC (pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara) China.

 

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fiamma, Jimmy Tan dan Pengasas/Pengerusi Samyou, Xiao Youyuan.


 
Tan turut menekankan kepentingan kerjasama itu sebagai satu langkah pengembangan portfolio Fiamma. 

 

"Perkongsian ini merupakan peluang kami memasukkan jenama 'Vino' Samyou yang menawarkan penyelesaian AC pintar, mesra alam dan cekap tenaga untuk memenuhi permintaan domestik yang kukuh," ulas beliau dalam kenyataan hari ini. 

 

Beliau berkata, pada 2023, pasaran AC Malaysia bernilai AS$758.25 juta (RM3.3 bilion) dan diunjurkan berkembang kira-kira 6.73% setiap tahun sehingga 2029. 

 

“Digabungkan dengan lebih empat dekad pengalaman dalam elektronik pengguna dan rangkaian pengedaran lebih daripada 2,000 titik sentuh, Fiamma berada pada kedudukan yang baik dalam kerjasama ini bagi memacu pertumbuhan mampan,” ujarnya. 

 

Xiao pula berkata, melalui kerjasama itu, beliau akan memanfaatkan lokasi strategik Malaysia, tenaga kerja mahir dan dasar kerajaan yang menyokong. 

 

"Kami komited bagi membangunkan produk AC generasi semasa dan akan datang di negara ini. 

 

"Perkongsian kami dengan Fiamma, dengan kehadiran tempatan yang kukuh dan pengalaman luas, adalah penting untuk Samyou kejayaan global.

 

Sementara itu, Xiao berkata, Samyou akan mendedikasikan sumbernya bagi melancarkan kemudahan AC menjelang pertengahan 2025.

 

"Ini meletakkan kami untuk mencapai sasaran jualan antarabangsa sebanyak AS$100 juta (RM434.2 juta) dalam tempoh tiga tahun akan datang," jelasnya.- DagangNews.com