Firma saran tambah, beli saham TNB | DagangNews Skip to main content

Firma saran tambah, beli saham TNB

 

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Prestasi kewangan suku pertama Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah sejajar dengan unjuran yang dibuat Maybank Investment Bank (IB). 

 

Ia secara tidak langsung memperlihatkan pemulihan dari segi pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2021, menurut penganalisinya, Tan Chi Wei.

 

Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' bagi saham TNB dengan harga saham tidak berubah pada RM12. 

 

"Kami menjangkakan pendapatan akan terus meningkat tahun ini (dengan mengambil kira lanjutan tempoh kawal selia kedua-RP2). 

 

"Tetapi, kami tidak menjangkakan kedudukan TNB akan lebih buruk dalam tempoh RP3 (2022 hingga 2024)," katanya dalam nota kajian. 

 

Firma itu memilih saham TNB kerana secara relatif, ia mempunyai pendapatan yang kukuh dengan sahamnya menawarkan hasil dividen lebih 5%.

 

Baca : TNB catat untung lebih tinggi RM958.7 juta

 

Baca : 2021 : Prospek TNB dijangka terus kukuh - Firma

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, untung bersih TNB melonjak 33.5% kepada RM958.7 juta berbanding RM717.9 bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan yang lebih tinggi itu adalah disebabkan pergerakan pasaran, terutamanya tukaran mata wang asing yang menyaksikan kumpulan mencatatkan kerugian tukaran mata wang yang lebih rendah sebanyak RM56.8 juta berbanding RM388 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagaimanapun menyusut dalam kadar yang kecil kepada RM11.48 bilion pada suku berkenaan berbanding RM11.65 bilion tahun lalu. 

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, NGO Siew Teng mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 kira-kira 0.1 hingga 0.2%. 

 

"Unjuran ini mengambil kira pendapatan lebih rendah berikutan aktiviti yang perlahan menerusi unitnya yang tidak dikawal selia," katanya.

 

Firma itu meletakkan harga sasaran pada RM13.40 sesaham dengan saranan 'tambah' saham TNB. - DagangNews.com