Fitch Solutions jangka ringgit didagangkan tidak menentu, cecah paras RM4.35 pada hujung 2023 berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Fitch Solutions jangka ringgit didagangkan tidak menentu, cecah paras RM4.35 pada hujung 2023 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 6 Jan - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research menjangkakan ringgit Malaysia akan didagangkan tidak menentu dan mencapai paras RM4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2023.

 

Firma itu berkata, ringgit dilihat terlebih didagangkan dalam tempoh terdekat selepas ia dilihat mengukuh kira-kira 7.7% berbanding dolar AS sejak awal November 2022, menunjukkan kemungkinan besar berlakunya penyatuan.

 

Katanya, kenaikan di Malaysia dalam beberapa bulan akan datang dan lebihan akaun semasa yang berterusan, walaupun terdapat sedikit kemerosotan dari segi perdagangan, mungkin akan memberikan sokongan kepada mata wang.

 

Bagi tempoh jangka panjang, firma itu neutral terhadap ringgit kerana unit itu dilihat kurang nilai dalam terma kadar pertukaran berkesan sebenar manakala prospek pertumbuhan yang kukuh dan inflasi yang sederhana sepatutnya kekal menyokong ringgit.

 

Prospek jangka pendek

 

Fitch Solutions berkata, ringgit Malaysia melemah kira-kira 5.3% pada 2022, tetapi firma itu menjangkakan kestabilan yang lebih tinggi pada 2023. 

 

Walaupun mereka menjangkakan ringgit Malaysia akan mengukuh berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, ia mencatatkan beberapa kecenderungan menaik yang lebih meluas.

 

“Dari perspektif teknikal, ringgit kelihatan sedikit terlebih beli selepas ia mengukuh mendadak berbanding AS$ sebanyak kira-kira 7.7% sejak awal November 2022 menunjukkan bahawa kenaikan selanjutnya dalam tempoh terdekat berkemungkinan terhad.

 

"Bagaimanapun, kami optimis terhadap ringgit atas dua sebab termasuk penghujung kitaran menaik kadar Fed dan kedua, sektor luar Malaysia yang kukuh,” katanya.

 

Firma itu berkata, walaupun ia agak suram tentang prospek eksport barangan Malaysia disebabkan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan kitaran menurun semikonduktor, ia menjangkakan harga komoditi kekal di atas paras sebelum COVID-19 dan pertumbuhan import juga akan perlahan.

 

Ia berkata ini kerana barangan pengantara menyumbang kira-kira 55% daripada jumlah import, manakala eksport semula menyumbang 25.4%.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan lebihan akaun semasa Malaysia kekal stabil pada 1.9% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2023, sama dengan anggaran kami yang disemak sebanyak 2.0% pada 2022,” katanya.

 

Prospek jangka panjang

 

Fitch Solutions berkata, dalam tempoh enam bulan, mereka menjangkakan ringgit mengukuh sedikit berbanding dolar AS dan meramalkan ringgit mencecah paras RM4.35 menjelang akhir 2023 dengan paras purata RM4.38 untuk tahun tersebut.

 

“Ringgit dilihat di bawah nilai dalam terma kadar pertukaran berkesan sebenar, didagangkan pada kira-kira 6.8% di bawah purata pergerakan 10 tahunnya," katanya. - DagangNews.com