FY21: VS Industry peruntuk perbelanjaan modal RM200 juta | DagangNews Skip to main content

FY21: VS Industry peruntuk perbelanjaan modal RM200 juta

 V.S Industry Bhd.

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Syarikat penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik, V.S Industry Bhd. (VSI) mempertuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM200 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Pengarah Urusannya, Datuk S.Y.Gan berkata, peruntukan itu dibuat dengan tujuan untuk mengembangkan dan meningkatkan lagi kapasiti serta keupayaan syarikat.

 

"Meskipun 2020 merupakan tahun yang sukar bagi syarikat berikutan cabaran pasaran yang belum pernah berlaku sebelum ini akibat pandemik COVID-19 dan isu-isu makroekonomi yang berterusan, namun ia berjaya memperoleh dua pelanggan baharu dari Amerika Syarikat (AS).  

 

“Selain itu, kami juga menjangkakan tempahan kukuh daripada pelanggan sedia ada kami akan kekal dalam tempoh terdekat ini. Dengan ini dan pelanggan yang baru diperoleh, kapasiti sedia ada kami dijangka dipenuhi sepenuhnya pada 2021

 

"Oleh itu, kami memperuntukkan kira-kira RM200 juta bagi perbelanjaan modal tahun kewangan 2021 untuk mengembang dan meningkatkan kapasiti dan keupayaan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Bernama, kenyataan tersebut dikeluarkan bersempena dengan mesyuarat agung tahunan ke-38 V.S Industry hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, V.S Industry tekad untuk mengekalkan standard kecemerlangan operasi selain berusaha untuk mencapai kualiti tinggi dalam aspek serahan yang tepat pada masa kepada pelanggan.

 

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan kapasiti, V.S Industry telah memeterai Perjanjian jual beli dan pembinaan dengan anak syarikat AME Elite Consortium Berhad iaitu Ipark Development Sdn. Bhd..

 

Perjanjian tersebut melibatkan pembelian enam bidang tanah dengan bangunan industri di Senai, Johor bersama jumlah bayaran RM98.8 juta.

 

Proses pembelian tersebut bagaimanapun dijangka selesai pada 3 Jun 2021. - DagangNews.com