G Capital raih lanjutan kontrak sewaan bas sekolah bernilai RM8.41 juta daripada Mindef | DagangNews Skip to main content

G Capital raih lanjutan kontrak sewaan bas sekolah bernilai RM8.41 juta daripada Mindef

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - G Capital Berhad menerusi anak syarikatnya, GPB Corporation Sdn. Bhd. melengkapkan perjanjian tambahan untuk lanjutan kontrak bersama Kementerian Pertahanan (Mindef)  bagi sewaan bas sekolah untuk anak-anak Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, G Capital berkata, menerusi perjanjian tambahan itu, kontrak mereka dilanjutkan selama setahun sehingga 31 Disember 2023 dengan nilai kontrak sebanyak RM8.41 juta menjadi jumlah keseluruhan sebanyak RM52.64 juta bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2023.

 

"Terdahulu, kumpulan itu dianugerahkan kontrak sewaan bas sekolah untuk anak-anak Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara, termasuk zon selatan, timur, utara, Sabah dan Sarawak Malaysia dari 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2022 dengan nilai kontrak RM44.23 juta," katanya.

 

Pada 31 Disember 2022, kumpulan itu telah mengiktiraf hasil sebanyak RM35.24 juta daripada perjanjian dengan Mindef.

 

Perjanjian tambahan itu mempunyai potensi hasil tidak terperoleh sebanyak RM17.39 juta untuk direalisasikan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Kecuali perkara di atas, perjanjian tambahan dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Perjanjian tambahan itu tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham syarikat, Bursa Malaysia Securities Berhad atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. - DagangNews.com