Gamuda sasar RM10 bilion tender 2021 | DagangNews Skip to main content

Gamuda sasar RM10 bilion tender 2021

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Syarikat kejuruteraan, infrastruktur dan hartanah, Gamuda Berhad berhasrat untuk mencapai sehingga RM10 bilion nilai tender atau buku tempahan (order book) menjelang tahun 2021. 

 

Sebanyak 50% nilai itu merupakan projek rel dari Australia dan selebihnya melibatkan kerja-kerja penambakan di Pulau Pinang. 

 

Pengarah Urusan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling berkata, kumpulan syarikatnya telah menghantar tender untuk tiga pakej kerja di Australia di mana setiap satunya bernilai AS$2 bilion atau kira-kira RM6.04 bilion. 

 

Lin Yun Ling
Lin Yun Ling

 

Ujarnya, Gamuda menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu daripada tender tersebut. 

 

“Di Australia, kerajaannya memilih untuk menggunakan rangsangan fiskal bagi menyuntik pemulihan ekonomi dan mereka telah memperuntukkan AS$100 bilion ke dalam projek infrastruktur terutamanya melibatkan landasan rel,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini. 


Setakat ini, kumpulan syarikat itu mempunyai RM7 bilion buku tempahan yang disahkan. 

 

Berhubung buku tempahan di Pulau Pinang pula, beliau positif untuk memperoleh tender berkenaan yang melibatkan rancangan kerja-kerja penambakan kerajaan negeri itu. 

 

Katanya, projek itu penting kerana tanah di Bayan Lepas yang merupakan hab elektrik dan elektronik (E&E) telah habis.

 

Prestasi kewangan Gamuda merudum pada suku keempat 2020 (4Q20) berakhir Julai lalu dengan mencatatkan kerugian RM17.34 juta.

 

Situasi itu didorong oleh kemerosotan aset ‘one-off’ setelah salah satu kilang sistem bangunan perindustriannya ditutup.

 

Keuntungan bersih Gamuda berbanding tahun lalu menurun 47% kepada RM371.68 juta daripada RM706.22 juta. - DagangNews.com