Glostrext meterai perjanjian taja jamin bersama M&A Securities untuk penyenaraian IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Glostrext meterai perjanjian taja jamin bersama M&A Securities untuk penyenaraian IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - Penyedia perkhidmatan instrumentasi geoteknik, Glostrext Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama M&A Securities Sdn. Bhd. untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, susulan itu syarikat mengemukakan tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan awam sebanyak 105.83 juta saham baharu (saham terbitan), mewakili 26% daripada modal saham kumpulan yang diperbesarkan.

 

Turut dilaksanakan adalah tawaran untuk jualan sebanyak 16.28 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Katanya, daripada 105.83 juta saham terbitan, 20.35 juta saham terbitan akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian; 10.18 juta saham terbitan untuk pengarah dan pekerjanya yang layak serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan manakala baki 75.30 juta saham terbitan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Urusannya, Ir Dr Lee Sieng Kai berkata, pelaksanaan IPO akan membolehkan kumpulan itu meneroka pasaran modal ekuiti bagi mengumpul dana dalam mengembangkan perniagaan instrumentasi dan pemantauan struktur dan tanahnya ke Singapura, dengan tumpuan kepada mempromosikan perkhidmatanya menerusi platform Glostrext WiNA.

 

"Tawaran itu adalah sejajar dengan trend semasa kerana banyak perniagaan dan syarikat kini memerlukan automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kewangan Korporat, M&A Securities, Datuk Bill Tan berkata, prospek industri instrumentasi geoteknikal dan ujian dijangka mencatat pertumbuhan positif apabila ekonomi Singapura dan Malaysia bertambah kukuh selepas kesan wabak COVID-19 reda.

 

"Peningkatan dalam perbelanjaan awam dan swasta untuk pembangunan infrastruktur di rantau ini dijangka memacu pertumbuhan pasaran instrumentasi geoteknikal dan pemantauan.

 

"Di Malaysia, dengan siapnya MRT1 dan 2, MRT Corp Development Building Control (DBC) telah mengeluarkan Garis Panduan Instrumentasi & Pemantauan untuk Kerja-kerja Dalam Zon Perlindungan Kereta Api MRT Edisi Disember 2018 berkenaan dengan keperluan pemantauan.

 

"Memandangkan permintaan untuk perkhidmatan instrumentasi geoteknikal dan ujian dijangka berkembang, Glostrext berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang perniagaan ini," katanya.

 

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO itu. - DagangNews.com