Gogolook, Cybersecurity jalin kerjasama bangunkan aplikasi anti jenayah penipuan | DagangNews Skip to main content

Gogolook, Cybersecurity jalin kerjasama bangunkan aplikasi anti jenayah penipuan

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Perniagaan Gogolook, Boice Lin
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Penyedia perkhidmatan TrustTech Gogolook memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama CyberSecurity Malaysia sebagai komitmen bersama mengukuhkan langkah keselamatan siber dalam ruang digital. 

 

Menurut kenyataan media bersama hari ini, salah satu strategi utama MoU itu termasuk pembangunan aplikasi anti-penipuan bagi rakyat Malaysia memerangi ancaman jenayah penipuan dalam talian.

 

Gogolook merupakan pembangun Whoscall, aplikasi anti-penipuan terkemuka dalam industri dan satu-satunya yang disokong oleh PDRM.

 

Majlis menandatangani dokumen MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Gogolook, Boice Lin dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr  Amirudin Abdul Wahab pada Cyber DSA 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 Ogos 2024.

 

Dr Amirudin berkata, peranan Cybersecurity Malaysia sebagai agensi keselamatan siber di bawah Kementerian Digital termasuk mendidik rakyat Malaysia tentang kewaspadaan digital terutamanya sejak kadar penipuan telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

Menurut beliau, isu itu menonjolkan keperluan mendesak untuk memupuk kesedaran awam tentang jenayah penipuan dan memberi langkah penyelesaian berkesan.

 

“Kami percaya cara terbaik untuk memerangi ancaman ini adalah melalui penyelesaian teknologi.

 

“Kejayaan Gogolook dengan aplikasi anti-penipuan Whoscall memberi kami keyakinan penuh bahawa perkongsian kami akan melindungi rakyat Malaysia secara berkesan daripada penipuan dalam talian, ” ujar beliau. 

 

Ketika mengulas perkongsian dengan CyberSecurity Malaysia, Lin berkata, pembangunan kecerdasan buatan (AI) akan merumitkan pengguna untuk mengesan jenayah penipuan.

 

“Kami juga memanfaatkan AI untuk membangunkan aplikasi anti-penipuanbaharu,  Gogolook juga membantu perniagaan melaksanakan teknologi anti-penipuan AI, melindungi keselamatan pelanggan dan memperoleh kepercayaan mereka.

 

“Melalui MoU ini, matlamat kami untuk menjadikan ruang digital lebih selamat melalui perancangan bersama untuk membangunkan aplikasi yang mantap, dipacu AI untuk rakyat Malaysia akan melengkapkan rakyat Malaysia dengan teknologi terkini untuk memerangi penipuan yang berkesan,” ulas beliau. 

 

Sebagai ahli asas Perikatan Anti-Penipuan Global (GASA), Gogolook bekerjasama dengan organisasi kerajaan dan industri di Taiwan, Jepun, Thailand, Malaysia, Korea dan Filipina untuk berkongsi pengalaman dalam memerangi aktiviti penipuan merentas pasaran ini. - DagangNews.com