Guna sumber syarikat tubuh syarikat pesaing, Hartalega saman bekas pengarah | DagangNews Skip to main content

Guna sumber syarikat tubuh syarikat pesaing, Hartalega saman bekas pengarah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Pengeluar sarung tangan, Hartalega Holdings Berhad termasuk dua lagi anak syarikatnya membuat tuntutan saman ke atas bekas pengarah eksekutif kumpulan syarikat itu. 

 

Ini adalah susulan bekas pengarah eksekutif itu, N. Danaraj telah menggunakan sumber anak syarikat Hartalega untuk membangunkan perniagaan sendiri ketika masih berkhidmat dengan kumpulan syarikat berkenaan. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hartalega serta Hartalega Sdn. Bhd. dan Mun Health Product (India) Pvt Ltd memfailkan saman dan pernyataan tuntutan kepada Danaraj pada 30 Disember 2020. 

 

“Kumpulan syarikat dan anak-anak syarikatnya (plaintif) pada 30 Disember 2020 telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang meminta antara lain pernyataan untuk pelanggaran kewajipan fidusiari, pelanggaran tugas kesetiaan, pelanggaran kontrak serta tuntutan ganti rugi terhadap Danaraj.

 

“Plaintif baru-baru ini mendapati bahawa Danaraj telah mengambil langkah untuk menubuhkan perniagaan yang bersaing dengan plaintif di mana menggunakan sumber-sumber Mun Health Product ketika Danaraj masih merupakan pengarah eksekutif kumpulan, pekerja Hartalega dan pengarah Mun Health Product,” jelas makluman itu. 

 

Berdasarkan Laporan Tahunan Hartalega pada tahun 2019, Danaraj memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif bemula 4 Julai 2011. 

 

Dia bertugas di anak-anak syarikat Hartalega di China dan India, di mana Danaraj juga mempunyai kepentingan. 

 

Namun, dia telah meletakkan jawatan pada 1 Julai 2020. 

 

Tambah Hartalega, hasil daripada saman itu tidak akan memberi impak ke atas kewangan dan operasi kumpulan syarikat. - DagangNews.com